FILEM dinanti-nantikan peminat dan inspirasi daripada peristiwa Lahad Datu iaitu Takluk: Lahad Datu ditayangkan di seluruh pawagam tanah air bermula hari ini.
Filem aksi perang kepolisan arahan Zulkarnain Azhar manakala skrip dihasilkan oleh Zulkarnain sendiri dan Peter Toyat menampilkan barisan pelakon terkenal tanah air antaranya Syafiq Kyle, Kamal Adli, Fikry Ibrahim, Anding Indrawani, Eman Manan, Riezman Khuzaimi, Josiah Hogan, Ayez Shaukat, Fad Anuar, Adam Corrie Lee, Mustaqim Bahadon, Zarul Umbrella dan ramai lagi.
Zulkarnain dalam satu temu bual berkata, dia hanya menjadikan peristiwa di Lahad Datu sebagai inspirasi tanpa mengaitkan mana-mana pihak.
Menurut pengarah yang pernah menghasilkan naskhah J Revolusi dan Air Force: The Movie – Selagi Bernyawa itu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) turut memantau penghasilan filem berkenaan dan meletakkan beberapa syarat.
“Kami tak buat ikut bahasa tertentu atau paparkan nama sebenar pengganas kerana tidak mahu menggores perasaan atau menimbulkan kemarahan mereka sehingga mencetuskan kontroversi.
“Kami hanya jadikan inspirasi daripada situasi berlaku, watak dan nama difiksyenkan, cuma gambaran situasi itu sahaja kami ikut gambaran sebenar,” katanya.
Berkongsi mengenai objektif penghasilan filem berkenaan pula, Zulkarnain memberitahu ia adalah sebagai tanda penghargaan buat semua wira yang berjuang mempertahankan negara.

Menariknya tayangan sempena bulan kemerdekaan ini dijangka memberi impak mendalam kepada penonton dengan kisah keberanian dan semangat perjuangan.
Membawa penonton melalui perjalanan emosi yang mendalam, dengan menceritakan detik-detik tegang ketika operasi ketenteraan di Lahad Datu serta bagaimana anggota keselamatan berjaya menangani situasi genting itu.
Penceritaan dalam filem ini dikatakan sangat dekat dengan realiti, dengan konsultasi rapat bersama pihak yang terbabit dalam operasi sebenar untuk memastikan ketepatan sejarah.