Kuala Lumpur : “Alhamdulillah, isteri baru selesai menjalani kemoterapi dan sudah beransur pulih,” penyanyi popular era 1990-an, Ady Wow, 56, ketika diminta mengulas keadaan kesihatan isterinya, Rozana yang didakwa menghidap kanser.

Ady berkata, dia juga memohon doa dari  semua peminat untuk sama-sama mendoakan kesembuhan isterinya itu.

“Isteri sudah buat pemeriksaan CT Scan (imbasan tomografi berkomputer) dan MRI (pengimejan resonans magnetik) dan 

keadaan kesihatannya okay. Insya-Allah, sama-sama kita doakan kesembuhannya,” katanya kepada Harian Metro ketika ditemui pada sidang media Festival Muzik Hits Konsert Telan Kaset 90-an di sebuah hotel, di sini, kelmarin.

Ditanya sama ada dia memerlukan bantuan untuk menampung kos rawatan perubatan isterinya, kata Ady, buat masa ini dia tidak memerlukan sebarang bantuan dari segi kewangan.

“Takpa, insya-Allah, saya akan usaha (cari duit) sendiri. Saya juga masih boleh bertahan dan menyara hidup dalam bidang nyanyian sampai sekarang,” katanya.

Menurut penyanyi yang popular dengan lagu Kau Yang Satu dan Engkau Tetap Satu ini, dia juga bersyukur kerana masih dapat undangan persembahan dari penganjur sejak bergerak solo tanpa kumpulan Wow.

“Saya juga masih dapat undangan persembahan dari penganjur setiap bulan.

“Selalunya saya buat persembahan secara solo kerana penganjur tiada bajet untuk bersama band. 

“Saya juga pemuzik sepenuh masa dan kalau tiada undangan saya akan buat kerja dalam bidang muzik di rumah,” katanya.

Berkongsi perancangan album baru pula, kata Ady, dia menghasilkan album itu dengan modal sendiri dan ia masih dalam proses pembikinan lagi.

“Kumpulan Wow sudah lama berpecah dan membawa haluan masing-masing.

“Sebagai ketua kumpulan, saya juga masih mencari keserasian dengan barisan anggota baru untuk bergerak bersama band selepas ini.

“Saya juga merancang untuk jual album baru itu kepada peminat ketika buat persembahan selepas ini,” katanya.

Untuk rekod, hasil perkongsian hidup dengan Rozana, mereka dikurniakan seorang anak lelaki.

By Azam

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *