Temu bual bersama Saari Amri untuk kolum Di Sebalik Cerita di Taman Pandan Mewah Ampang. FOTO ASWADI ALIAS

Kuala Lumpur : Komposer berkaliber tanah air, Saari Amri, 58, mendedahkan dia sanggup berhenti sekolah ketika berusia 13 tahun bukan kerana tidak bijak dalam pelajaran, tetapi masalah kesempitan hidup dialami keluarganya.

Saari atau nama sebenarnya, Saari Jusoh berkata dia dibesarkan oleh  neneknya di Kelantan selepas ibu bapa berpisah dalam kehidupan serba miskin ibarat kais pagi makan pagi, kais petang makan petang.

“Saya bijak dalam pelajaran dan selalu dapat markah A apabila peperiksaan. Namun, saya terpaksa berhenti sekolah ketika usia 13 tahun kerana dihimpit kemiskinan hidup di kampung.

“Di sekolah, saya selalu dihina kerana miskin sebab tidak mampu beli baju dan kasut baharu macam orang lain. Jadi, saya rasa malu nak ke sekolah kerana memakai kasut yang koyak,” katanya kepada Harian Metro sewaktu ditemui baru-baru ini.

Bapa empat anak ini berkata, dia juga membawa diri berhijrah ke Singapura dan pernah bekerja sebagai buruh kontrak di negara jiran itu dengan pendapatan lumayan, sekali gus boleh menanggung keluarganya di kampung. 

“Ujian kehidupan yang saya lalui sangat mencabar diri untuk sampai ke tahap senang dan selesa sebagaimana sekarang. Saya budak kampung yang miskin, tidak belajar tinggi dan sudah bekerja kasar sejak remaja.

“Jujur diakui, kesusahan hidup dialami itu banyak mengajar saya menghargai rezeki dan apa yang sudah dimiliki ketika ini. Sebab itu, saya juga cepat berasa kasihan dan mudah simpati kepada orang-orang yang hidup susah.

“Saya sukar nak tolak orang yang datang minta bantuan sebab saya pernah hidup miskin. Jadi, untuk pengalaman itu juga, saya pastikan anak-anak dapat hidup selesa dan tidak melaluinya. Sedih apabila kita dihina orang,” katanya.

Menurut Saari, dia bagaimanapun tidak menyesal dengan suratan takdir hidupnya dulu kerana percaya Allah sudah menyusun cantik perjalanan kehidupannya, termasuk insiden kemalangan ngeri dialami pada 1996 lalu.

“Saya sifatkan kemalangan motosikal berkuasa tinggi yang hampir meragut nyawa itu adalah pengajaran yang baik daripada Allah untuk saya di atas kekhilafan diri yang mungkin saya tidak sedar pada waktu itu.

“Tapi, Alhamdulillah kehidupan saya sekarang ini baik-baik saja dan bahagia bersama keluarga. Jadi, tiada apa yang nak dikesalkan selain saya berasa amat bersyukur dengan nikmat kasih Allah kepada saya,” katanya.

Pada Disember 1993, Saari bertemu jodoh dengan Senorita Abdul Rahman dan hasil perkongsian hidup selama 31 tahun, mereka dikurniakan cahaya mata iaitu Mohd Fitri Amri, 30, Iraas Irmarita, 29, Iraas Marliany, 25, dan Amri Farizuan, 22.

Saari yang berjaya mencipta nama sebagai komposer popular pada era 1990-an, amat dikenali dengan lagu ciptaannya seperti Madah Berhelah, Penantian, Pelamin Anganku Musnah, Ramalanku Benar Belaka, Lagu Di Sana Menanti Di Sini Menunggu, Gerimis Mengundang, Mengintai Dari Tirai Kamar dan banyak lagi.

Source :