Kuala Lumpur : Pelakon jelita yang baharu bergelar ibu, Uqasha Senrose, 32, bengang apabila nama  dan dirinya digambarkan kurang baik kerana didakwa bertindak kasar terhadap pembantu peribadinya yang kini menjadi perhatian ramai.

Menerusi siaran langsung di TikTok semalam, Uqasha tampil menepis dakwaan yang disifatkannya tidak berasas langsung terhadap dirinya yang kini sibuk menguruskan anak kecil dan memerlukan perhatian rapi.

Menurut pemilik nama sebenar Nik Zaris Uqasha Nik Sen yang juga isteri pelakon Kamal Adli ini, dia tiada kaitan dengan tuduhan berkenaan (melakukan kekasaran) berikutan kesibukan fokus yang diutamakan kepada keluarga kecilnya itu.

“‘Debik’ (pukul) PA (pembantu peribadi)? Biar betul? Aku di rumah dengan anak saja. Ingat aku gengster sangat nak ‘debik’.

“Aku dengan anak 24 jam, nak pergi ‘debik’ orang dah kenapa,” katanya dalam siaran langsung di akaun media sosialnya itu.

Sebelum ini, media ada melaporkan kisah pembantu peribadi kepada seorang pelakon wanita yang ditahan polis di atas dakwaan kesalahan mencuri barangan kemas milik majikannya. 

engikut hasil siasatan dibuat oleh pihak polis juga, ada menemui barangan kemas berkenaan di kediaman wanita (pembantu peribadi) itu.

Difahamkan, wanita sama turut membuat laporan polis mendakwa dicederakan dan diugut pelakon wanita terbabit gara-gara mencampuri urusan rumah tangga majikannya yang dikatakan kini bermasalah.

Susulan apa yang sudah berlaku dan hangat diperkatakan kerana tular juga di media sosial, rata-rata netizen mengaitkan nama Uqasha yang juga kakak pelakon Nelydia Senrose itu sebagai pelaku utama. 

Source :