Shah Alam : “Saya lihat muka dan saya kenal baju yang dia pakai. Badan arwah sedikit menggelembung disebabkan sudah beberapa jam dalam sungai,” kata Muhammad Effrie Amron, abang ipar Allahyarham Muhammad Nidza Afham Mokhtar yang mayatnya ditemui berhampiran Jalan Tepi Sungai, Solok Sungai, Taman Telok Pulai Indah, Klang, semalam.
Muhammad Effrie ketika ditemui di luar Unit Perubatan Forensik Hospital Shah Alam berkata, mereka mendapat panggilan pada jam 7.45 malam untuk melakukan pengecaman mayat.
“Saya yang tiba awal di lokasi penemuan sebelum membuat pengecaman mayat. Saya tengok betul-betul dan saya kenal baju yang arwah pakai,” katanya.
Sementara itu, Aufahanie yang juga adik Allahyarham berkata, mereka sekeluarga belum lagi dapat melihat jenazah abangnya itu kerana proses siasatan masih lagi berjalan.
“Ia membabitkan ayah, abang dan adik sebelum proses bedah siasat diteruskan,” katanya.
Selain ahli keluarga, dua lelaki yang membantu proses pencarian Nidza di Jambatan Sungai Klang turut dipanggil untuk membantu siasatan.
“Sekarang, masih dalam proses siasatan untuk teruskan bedah siasat untuk memastikan wujud unsur jenayah atau tidak,” katanya.
Aufahanie berkata, jenazah dijangka dikebumikan selepas Asar di Tanah Perkuburan Islam Kampung Felda Bukit Cherakah, di sini.