Kuala Lumpur: “Terima kasih atas kesudian meraikan ulang tahun kelahiran saya.”
Demikian kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang hadir pada Konsert Datuk M N45IR Cipta di Axiata Arena, Bukit Jalil, semalam.
Beliau turut meluahkan rasa kagum dengan kehebatan penyanyi lagu Suatu Masa itu.
“Memenuhi jemputan ke Axiata Arena malam tadi untuk menghadiri Konsert Cipta bagi menikmati suara emas dan mahakarya seniman ulung Datuk M Nasir
“Kagum dengan kehebatan suara beliau yang begitu hebat melantunkan lagu-lagu ciptaannya. Saya terkesan tatkala beliau menyampaikan lagu tribute buat perjuangan rakyat Palestin,” katanya.
Terrdahulu, konsert bersempena 45 tahun pembabitan M Nasir dalam dunia seni tanah air itu berjaya memukau 8,000 penonton.
Selain Anwar, konsert berdurasi lebih dua jam itu juga disemarakkan dengan kehadiran Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil.
Lebih bermakna, M Nasir, 66, turut menghadiahkan pulut kuning kepada Perdana Menteri sempena ulang tahun ke-77 semalam.
“Saya nak hadiahkan lagu pada seseorang iaitu Perdana Menteri. Tapi saya tak hadiahkan kek tapi pulut kuning,” katanya.