Dua kali gagal dalam temuduga menjadi penyampai radio di sebuah stesen radio milik Radio Televisyen Malaysia (RTM) tidak mematahkan semangat Zullastree Muhammad, 50.

Begitupun percubaan ketiganya pada 2001, membuahkan hasil apabila berjaya diterima sebagai juruhebah di stesen radio yang menjadi pilihan warga kota yang ketika itu dikenali Radio Malaysia Kuala Lumpur (RMKL) dan dikenali KLFM selepas penjenamaan semula oleh RTM pada 2005.

Rezeki itu hadir ketika dia dan isteri Siti Rahayu Ramli masing-masing berusia 27 tahun baru seminggu melangsungkan perkahwinan dan ketika hadir melapor diri, jarinya masih merah dengan inai sehingga menjadi usikan penyampai radio lain di stesen berkenaan.

Zullastree yang juga bapa kepada tiga anak berkata kenangan manis itu antara momen indah yang kekal terpahat di sanubarinya hingga hari ini.

“Saya antara juruhebah di RTM yang merasai bertugas dalam dua era penyiaran berbeza ketika RTM masih lagi menggunakan sistem analog sebelum beralih ke digital.

“Saya sempat merasai pengalaman menjadi juruhebah yang perlu membawa cakera padat (CD) ke konti yang lebih mencabar berbanding sistem yang dijana menerusi pengkomputeran yang digunakan ketika ini bukan sahaja di RTM tetapi stesen radio swasta lain.

“Menjadi cabaran ketika itu untuk menguasai penggunaannya dengan cepat supaya boleh bekerja tanpa ditemani oleh sesiapa di konti dan ia tidak lagi dirasai oleh juruhebah baharu ketika ini,” katanya ketika ditemui.

Zullastree berkata bermula siaran pada jam 3 pagi, dia kemudian diberi kepercayaan mengendalikan segmen pada tengah malam sebelum mengendalikan pelbagai segmen pada sebelah siang.

Hampir 23 tahun bertugas di KLFM dan setahun di Radio Klasik membuktikan Zullastree bukan calang-calang juruhebah kerana sudah memiliki pengalaman sebaris dengan bekas juruhebah tersohor KLFM seperti Noraini Ibnu, Azizah Sulaiman, Fauziah Zakaria, Manan Selamat, Omar Osman, Md Noor dan Preimah.

Zullastree berkata dia diambil bertugas pada 2001 bagi melengkapkan siaran 24 jam radio yang ketika itu masih menggunakan nama RMKL.

Katanya, ketika itu rakan-rakannya antaranya DJ Pool (sekarang Datuk), DJ Azlan Omar (sekarang di radio Klasik) DJ Izani Zakaria, DJ MKay, DJ Kzie dan DJ Irwan Shah antara yang turut terpilih menjadi juruhebah di KLFM.

“Saya juga berkhidmat di bawah beberapa pengurus radio antaranya Datuk Mustafa Kamal Abd Razak, Tengku Idris Tengku Din, Normah Aziz dan pengurus sekarang Noorliza Nordin.

“Bagaimanapun DJ Pool, DJ MKay, DJ Kzie, DJ Izani Zakaria dan DJ Irwan Shah tidak lagi bersama KLFM dan hanya saya seorang yang terus kekal bersama KLFM sehingga hari ini,” katanya yang sinonim dengan tagline pokok berkata-kata mengambil sempena namanya.

ZULLASTREE bersama Ketua Pengarah Penyiaran Datuk Suhaimi Sulaiman.
ZULLASTREE bersama Ketua Pengarah Penyiaran Datuk Suhaimi Sulaiman.

Zullastree mengakui selesa berada di KLFM biarpun pernah diberi peluang berkhidmat di radio Klasik selama setahun.

Menurutnya, jiwanya lebih sesuai di KLFM biarpun stesen radio berkenaan hanya bertaraf negeri berbanding radio Klasik adalah stesen nasional namun baginya bukan populariti menjadi keutamaan.

“KLFM hanya boleh didengar di kawasan Kuala Lumpur sesuai dengan tagline radio Ini Baru KL dan siaran ini juga boleh diikuti di sebahagian Selangor dan Putrajaya menerusi frekuensi 97.2 mhz.

“23 tahun di KLFM bukan satu jangka masa yang pendek, kepuasan apabila dapat menemani pendengar biarpun di stesen bertaraf negeri sesuatu yang sangat membanggakan,” kata Zullastree sering ke udara pada sebelah petang menerusi segmen Memori Hits KLKL (kenangan lalu Kuala Lumpur) bergilir mengendalikan segmen bersama DJ Mimie Walla pada setiap Isnin hingga Jumaat dari jam 4 petang hingga 8 Malam.

“Dalam memori hits KLKL ada pula segmen artis legend KL, Jangan Turun Kereta (JTK) dan Kongsi Kenangan Bersama (KKB) dengan lagu-lagu yang disiarkan adalah dari tahun 80an, 90an dan 2000 dengan pelbagai genre lagu termasuk Hindustan dan Inggeris.

“Setiap Jumaat dari jam 5.30 hingga 6.30 petang ada segmen bersama tetamu undangan Tok Mat Dalib yang mengupas persoalan berkaitan kereta dan motosikal,” katanya.

Zullastree turut mengendalikan segmen yang menampilkan lagu genre rock popular pelbagai rentak dalam Rock Kota Raya, Rock Menggegar Jiwa setiap Sabtu dan Ahad bermula dari jam 6 petang hingga 12 tengah malam.

Mengakui juruhebah stesen radio berdepan cabaran daripada siaran radio dalam talian seperti TikTok, juruhebah sepertinya juga tidak boleh ketinggalan menguasai media sosial berkenaan terutama ketika bersiaran dengan membuat siaran secara langsung (live) di TikTok.

“Saya berbangga kerana menjadi sebahagian keluarga RTM hampir 24 tahun dan berbangga kerana menjadi juruhebah paling lama berkhidmat di KLFM,” katanya.

By Azam

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *