Pencarian anggota kumpulan KLP48 akhirnya berjaya dimuktamadkan apabila 13 wanita jelita dipilih untuk membangunkan jenama kumpulan itu di Malaysia.
Berpangkalan di Kuala Lumpur, KLP48 adalah salah satu legasi kepada kumpulan idola Jepun iaitu AKB48 yang sudah bertapak dalam industri muzik sejak 2005.
Menariknya mengenai penubuhan KLP48 ini, 13 penyanyi berbakat yang dipilih bukan saja kelahiran Malaysia, tetapi juga dari Jepun, Indonesia dan Hong Kong.
Barisan itu terdiri daripada tiga perpindahan daripada AKB48 dan satu perpindahan daripada kumpulan saudara perempuan STU48 yang berpangkalan di Jepun.
Pengarah 48 Entertainment Sdn Bhd, Yip Chun Wei yang diberi tanggungjawab menguruskan KLP48 berkata, AKB48 dan kumpulan saudaranya mendapat sokongan meluas peminat di Malaysia.
“Kami berharap peminat akan terus memberikan sokongan padu kepada kumpulan baru ini. Kami sudah merangka beberapa perancangan menarik termasuk segala usaha yang sudah diberikan barisan penyanyi muda ini,” katanya.
Menurut Chun Wei, KLP48 adalah satu kumpulan yang unik kerana terdiri daripada pelbagai etnik kaum.
Malah, kesemuanya berkebolehan untuk berkomunikasi lebih dari dua bahasa sekali gus membuatkan mereka lebih menonjol daripada kumpulan legasi lain.
“Uniknya mengenai KLP48 ini, ahli kami terdiri daripada pelbagai latar agama dan etnik. Semua anggota mempunyai kebolehan berbahasa asing, malah kebanyakan mereka boleh bercakap lebih dari dua bahasa.”
“Kepelbagaian yang ditonjolkan inilah yang membuatkan kumpulan ini istimewa di mata peminat kerana boleh menyanyi dalam pelbagai bahasa,” katanya.
Ditanya siapakah kapten yang bakal mengetuai kumpulan ini, Chun Wei berkata, pemilihan kapten masih belum diputuskan.
Katanya, kumpulan itu pernah diberi tugasan seperti mencanting batik dan menebar roti canai di kedai mamak.
“Bagi memupuk semangat berpasukan dan menerapkan nilai kebudayaan di Malaysia, kami pernah membahagikan mereka kepada beberapa pasukan untuk membuat aktiviti menarik yang terdapat di sini.
“Kami juga bawa mereka ke pasar malam dan mencuba pelbagai jenis makanan,” katanya.
Dalam pada itu, anggota KLP48, Lucine berkata, dia sudah lama menyimpan impian untuk menganggotai kumpulan muzik pop.
“Sebelum ini saya memang aktif sebagai penari. Jadi apabila mengetahui mengenai pencarian bintang KLP48 saya amat tertarik.
“Bertitik tolak daripada situ saya saya tekadkan diri untuk pergi ke uji bakat dan mengasah bakat sebagai penyanyi”, katanya.
Selain Lucine dari Malaysia, anggota KLP48 terdiri daripada Yurina (Jepun), Salwa (Malaysia), Hillary (Hong Kong), Yi Shyan (Malaysia), Cocoa (Jepun), Amanda (Malaysia), Ann Drea (Malaysia), Suzuha (Jepun), Devi (Indonesia), Khalies (Malaysia), Haruka (Jepun) dan Tiffany (Malaysia).
Selain KLP48, terdapat kumpulan legasi lain yang diperkenalkan di rantau Asia Tenggara ialah JKT48 (Jakarta), BNK48 (Bangkok), MNL48 (Manila) dan CGM48 (Chiang Mai).
Sempena acara sulung, KLP48 dijadualkan bakal menyertai konsert AKB48 Group Live in KL 2024 ‘First Cry’ di Zepp Kuala Lumpur pada 18 Ogos ini.