KUALA LUMPUR: Tindakan penyanyi Zaki Yamani merahsiakan keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) diperoleh Mei lalu turut menimbulkan tanda tanya kepada bapanya yang juga penyanyi legenda, Datuk Jamal Abdillah.
Jamal berkata, dia masih belum mengetahui keputusan SPM anak keduanya sehingga hari ini.
Penyanyi Penghujung Rindu itu berkata, Zaki tetap membisu setiap kali ditanyakan soalan itu.
“Saya sendiri tak tahu kenapa Zaki nak rahsiakan keputusan peperiksaannya.
“Saya sudah hantar mesej menerusi WhatsApp dan minta abangnya, Osama Yamani untuk menghubungi adiknya itu, tapi tetap tak nak beritahu.
“Jadi, untuk lulus dengan cemerlang mungkin agak sukar. Tapi, saya bersikap terbuka, kalau betul keputusannya kurang memuaskan, dia boleh kembali belajar.
“Lagipun, Zaki masih muda dan peluang masih terbuka luas,” katanya kepada BH Online.

Sementara itu, Jamal turut meluahkan rasa teruja apabila mengetahui Zaki sudah pun berjaya melalui fasa pertama untuk melanjutkan pengajian dalam bidang muzik di Universiti Teknologi MARA (UiTM).
“Saya dapat tahu Zaki sudah pun selesai menjalani temu duga di UiTM dalam jurusan muzik dan masih menunggu keputusan.
“Kalau begitu, maknanya keputusan SPM tidaklah begitu teruk kerana masih berpeluang untuk melanjutkan pelajaran.” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran single Kumpulan Cherry On Top berjudul Ketagih, di sini, semalam.
Kehadiran Raja Pop itu untuk memberi sokongan terhadap Osama yang juga gitaris band itu.
BH Online hari ini melaporkan Zaki mengakui lebih selesa menyimpan perkara itu sebagai privasi miliknya dan tidak perlu dihebohkan.
Zaki turut memaklumkan menerima tawaran daripada beberapa pusat pengajian tinggi, namun masih belum membuat keputusan kerana masih menunggu tawaran daripada UiTM yang juga universiti idamannya.