Kuala Lumpur: Pelakon, Nafiez Zaidi, 32, memilih untuk menjaga privasi berkaitan hubungan cinta sekiranya dipertemukan dengan jodoh selepas ini. 

Nafiez yang juga bekas kekasih pelakon, Fify Azmi dan pernah dikaitkan dengan pelakon, Neera Azizi belajar daripada pengalaman masa lalu dan kini sedar bahawa hubungan yang dirahsiakan itu lebih baik. 

“Cinta tak semestinya menaikkan nama seseorang. Ada orang yang sukakan privasi dan ada yang suka mendedahkan mengenainya.

“Macam saya sendiri, apabila dah tengok semula benda lepas, saya jadi macam tak mahu nak tunjuk sangat. Kadangkala, kalau tunjuk sangat, benda jadi tak elok lebih-lebih lagi apabila hubungan tak menjadi. 

“Jadi, pendekatan saya sekarang, kalau ada hubungan cinta pun, saya simpan privasi itu dan tak adalah nak dedahkan sangat,” katanya kepada Harian Metro. 

Tambah Nafiez, pendedahan mengenai hubungan cinta sepatutnya dibendung sejak awal lagi. 

“Sepatutnya, benda itu patut dibendung sejak awal. Memang dah pernah terfikir mengenai perkara itu. 

“Jadi, mungkin kalau ada sesiapa selepas ini, nak dekat perkahwinan baru saya kongsikan. Itu rasanya lebih bagus,” katanya. 

Bagaimanapun, pelakon filem Malbatt: Misi Bakara itu percaya, setiap percaya boleh dibawa berbincang untuk mendapatkan kata sepakat. 

“Kalau ada kenal seseorang, mungkin boleh jelaskan dari awal, apa yang kita nak atau tak mahu terlalu mendedahkan. Tapi, kalau kita nak kenal seseorang itu, mestilah kita tahu sama ada dia orang yang bagaimana. 

“Kalau dia jenis suka mendedahkan, mungkin kita boleh berbincang mengenai privasi,” katanya. 

Ditanya mengenai hubungannya dengan kedua-dua pelakon yang pernah dikaitkan dengannya, Nafiez berkata, persahabatan mereka berjalan seperti biasa. 

“Fify dengan saya tak ada masalah waaupun dia kini mungkin dah ada orang baharu. Kami ada berhubung, tapi bukan perbualan panjang. Perbualan biasa-biasa sahaja.

“Dengan Neera pun sekadar kawan, tak ada apa yang serius pun. Dengan Neera, kami kawan baik. Kami dah kenal lama sebelum saya kena Fify. 

“Saya pun, apabila dah sibuk dengan urusan perniagaan, memang fokus saya di situ. Jadi, sekarang memang tak ada sesiapa. Jadi, saya ikut sahaja arus waktu,” katanya. 

Kini, Nafiez menguruskan perniagaan fesyen pakaian jalanan dan jersi bersama rakan kongsi yang juga pelakon, Zahiril Adzim. 

By Azam

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *