AXTHARA dikenali oleh peminat muzik rock pada era 1990-an kerana kelunakan suara penyanyinya, Ujang yang mengalunkan setiap lagu dengan penuh jiwa dan perasaan.
Album pertama mereka berjudul Cerucuk keluaran Karun Seni memuatkan lagu-lagu menarik seperti Senja Satu Persinggahan, Mimpi Dilamar Mentari dan banyak lagi.
Kumpulan berasal dari Johor ini dianggotai oleh empat pemuda iaitu Ujang (vokalis), Jimmy (bass), Am (gitar utama) dan Gie (pemain dram).
Agak lama menyepi, Axthara kini ‘dihidupkan’ kembali namun dengan ahli berbeza iaitu Karl (vokalis), Nazz (gitar utama), Baragas (bass) dan Roy (dram). Manakala Karun Seni pula kini bertukar nama kepada Loonaq Records.
Karl berkata, Axthara tidak lagi mempunyai anggota asal selepas kematian tragis Ujang dan dua anggota lain Jimmy dan Gie Black, sementara Am terus menghilangkan diri dan tidak dapat dikesan sehingga kini.
“Perbincangan dengan pemilik Loonaq Records iaitu Rozman Abas mencapai persetujuan apabila beliau bersetuju
Axthara membuat kemunculan semula bersama anggota baru.
“Kami juga diberikan kebenaran memainkan semua lagu-lagu lama Axthara serta dalam proses menyiapkan lagu-lagu untuk mini album terbaru Axthara 2024.
“Saya dan anggota lain berbesar hati dan amat berterima kasih kepada Rozman atas peluang yang diberikan ini,” katanya.
Karl mengakui seakan tidak percaya berada dalam Axthara kerana dia sememangnya meminati kumpulan itu dan membesar dengan lagu-lagu mereka.
“Saya sukakan lagu-lagu Axthara kerana suara Allahyarham Ujang yang unik. Selain itu, muzik yang dimainkan dalam album Cerucuk memang ‘mengigit’ kata peminat lagu-lagu rock kapak.
“Tak dinafikan saya teruja untuk menyanyikan semula lagu-lagu mereka, namun pada masa sama, saya minta agar peminat jangan bandingkan nyanyian saya dengan Ujang serta permainan muzik anggota sekarang dengan anggota asal Axthara.
“Yang penting, saya ada identiti sendiri dan takkan sesekali meniru cara Ujang. Saya nak peminat kenal kami sebagai Axthara baru yang meneruskan legasi Axthara asal,” katanya.
Dia yang pernah bersama beberapa kumpulan lain sebelum ini, juga meminta peminat industri muzik khususnya rock agar memberikan sokongan tidak berbelah bahagi kepada mereka.