Kuala Lumpur: Video babak pelakon Dayang Areeda cuba menjerat Aliff Aziz dengan menggunakan ‘nasi kangkang’ yang didakwa sebagai amalan ilmu sihir menerusi drama Terjerat ditayangkan di iQIYI mencuri perhatian ramai.
Menerusi video yang tular di aplikasi X, aksi Dayang yang membawa watak sebagai Shasha menyebabkan ramai penonton tidak sabar menantikan tayangan episod akhir drama itu hari ini dan esok.
Menerusi video itu, jelas kelihatan Dayang menghayati wataknya apabila sanggup melakonkan babak nasi kangkang dengan penuh kebencian dan dendam.
Dayang berkata, babak yang dilakonkan itu adalah kali pertama dijayakannya dan mengaku risau pandangan orang luar terhadapnya.
“Mula-mula agak susah sebab saya tak tahu macam mana nak buat babak itu tapi selepas dibantu oleh pengarah dan barisan pelakon saya cuba buat dengan sehabis baik.
“Jujurnya memang agak malu, tapi Alhamdulillah segalanya dipermudahkan. Terus terang saya tak takut nak buat babak ini kerana ia hanya lakonan.
“Cuma saya risau pandangan masyarakat apabila melihat saya melakukan babak itu. Tambah pula sekarang ini ramai yang suka mengecam,” katanya.
Menerima pelbagai maklum balas mengenai video itu, Dayang berharap penonton dapat memgambil pengajaran dan iktibar.
“Babak ini tidak dibuat secara suka-suka tapi ada pengajaran yang boleh diambil.
Amalan khurafat seperti ini bukanya rekaan tapi memang ada terjadi.” katanya.
Terdahulu babak dilakonkan Dayang meraih lebih 380,000 tontonan di aplikasi X dan ratusan komen.
Terjerat yang membariskan pelakon Aliff Aziz, Ruhainies dan Fendy Bakry bakal melabuhkan tirainya pada minggu ini.
Drama Original iQIYI berdurasi 12 episod arahan Azmi Hatta itu mengisahkan Nadia (lakonan Ruhainies) yang dibayangi krisis hutang suaminya, Izham (lakonan Fendy Bakry) yang parah akibat judi.
Nadia dijadikan taruhan oleh pemiutang suaminya. Tanpa diduga, Nadia bertemu Faliq (lakonan Aliff Aziz) yang terperangkap dahulu darinya. Semakin hari berlalu, ikatan platonik mereka semakin mendalam seterusnya menjadi hubungan cinta yang terlarang.
Masing-masing punya pasangan hidup justeru, keadaan memaksa mereka untuk memilih antara kesetiaan kepada pasangan mereka ataupun berserah pada takdir sehingga terjerat dalam satu permainan percintaan yang terlarang.