Kuala Lumpur: “Kalau saya rapat dengan seseorang pelakon itu, saya akan tegur saja sikapnya agar dia membataskan pergaulan di set penggambaran saya,” kata Osman Ali, 51.
Pengarah filem dan drama itu mengulas mengenai hak menegur sebagai pengarah serta isu batas pergaulan antara pelakon lelaki dan wanita yang tidak dijaga ketika di lokasi hingga hangat diperkatakan baru-baru ini.
Malah sikap mesra dan terlampau mengaitkan pelakon lelaki dan wanita yang didakwa tidak menjaga batas pergaulan mereka sehingga membawa kepada kedua-duanya terpalit kontroversi.ADVERTISING
Osman berkata, setiap pengarah yang bekerja di set penggambaran sebenarnya ada pilihan sama ada mereka mahu ambil tanggungjawab untuk menegur atau sekadar menjalankan tugas (pengarahan) saja tanpa mencampuri urusan peribadi individu lain.
“Keadaan ini (beri teguran), saya akui bergantung dengan serapat mana hubungan saya dengan pelakon berkenaan. Contohnya, katakanlah itu Remy Ishak dan saya boleh tegur dia sebab hubungan kami rapat.
“Tapi, sekiranya pelakon yang bekerja dengan saya itu memang baru saya kenal dan baru juga kerja bersama, tentu ada batasan. Jadi, sudah pasti saya tidak boleh dengan sembarangan mencampuri hal peribadinya,” katanya kepada Harian Metro.
Semalam, Osman yang ditemui pada tayangan perdana drama BaraJiwa arahannya berkata, pembatasan untuk pelakon lelaki dan wanita menjaga pergaulan diri di set penggambaran tetap boleh dilakukan oleh pihak produksi.
“Tindakan yang boleh dibuat, contohnya mungkin dengan cara asingkan bilik wardrobe mereka, termasuk perbaiki cara kerja untuk mengurangkan kemesraan pelakon terbabit yang didapati berlebihan menghayati watak.
“Cuma, setakat ini selama saya aktif mengarah drama dan filem, boleh dikatakan saya belum pernah lagi berhadapan pengalaman itu (pelakon tidak jaga batas pergaulan) di set penggambaran saya.
“Namun, kalaulah perkara itu ada berlaku dan berpotensi mencetuskan impak negatif kepada masyarakat, ada baiknya sebagai orang yang berpengalaman dalam industri, saya ambil tanggungjawab untuk menjaga sedikit ruang itu (memantau pergaulan pelakon) supaya tidak terlalu terbuka hingga membawa risiko kepada semua pihak,” katanya.
Menurut pengarah filem Anak Halal dan Ombak Rindu ini, bagaimanapun untuk bertindak memberi teguran atau tidak memang bergantung kepada kesanggupan pengarah itu sendiri kerana ia hak masing-masing.