KUALA LUMPUR: Kes kematian pempengaruh TikTok dikenali Rajeswary yang didakwa menjadi mangsa buli siber membuktikan perbuatan melemparkan komen negatif dalam media sosial boleh memberikan impak buruk jika tidak disekat.
Terkesan insiden malang menimpa wanita itu, pempengaruh media sosial yang kini bergelar pelakon, Mek Yun berharap kerajaan dapat berbuat sesuatu supaya perkara menyedihkan seperti itu tidak berulang.
“Sebagai pencipta kandungan, saya turut terkesan dengan apa yang berlaku. Tidak dinafikan, kami terdedah dengan segala kecaman kerana tak boleh nak kawal golongan wira papan kekunci ini.
“Setiap orang ada pandangan berbeza dan netizen boleh bercakap sahaja. Jika perkara ini dibiarkan ia boleh mendatangkan keburukan.
“Perkara ini sangat serius dan tak boleh diambil mudah kerana sampai membabitkan soal kematian.
“Perlu wujud akta khas apabila komen negatif hingga tahap membuatkan seseorang nekad menamatkan riwayat hidup. Kerajaan perlu ambil sebagai satu tindakan berat,” katanya ditemui pada majlis pelancaran drama bersiri, Perang Nasi Dagang di Dewan Bahasa dan Pustaka, di ibu negara, kelmarin.l
Dalam pada itu, Mek Yun atau nama sebenarnya, Wee Yun Nee, 27, mengakui, dia juga pernah berdepan dengan kecaman meskipun kebanyakan kandungan media sosialnya menyebarkan aura positif.
“Sukar nak memuaskan hati semua orang. Tapi, tiadalah sampai tahap dapat komen benci.
“Antara komen diterima berkaitan soal perkauman dan ejek tubuh (body shaming). Sebelum ini, tubuh saya berisi, jadi mereka kata saya gemuk dan miliki paha besar.
“Mungkin komen sebegitu biasa sahaja, tetapi netizen tak sedar kata-kata itu mungkin boleh memberi impak buruk kepada seseorang yang berdepan masalah kesihatan mental.
“Saya berharap netizen fikirlah dua atau tiga kali sebelum meninggalkan komen mengguris hati,” pesan gadis berketurunan Cina Kelantan ini.

Mengenai tindakan dilakukan tatkala berdepan sikap biadap netizen, Mek Yun berkata, dia lebih selesa tidak ambil peduli demi menjaga kesihatan mentalnya.
“Tak dinafikan, mulanya, ia bagaikan mematikan semangat saya untuk terus menghasilkan kandungan dalam media sosial.
“Bagaimanapun, bila difikirkan semula buat apa saya nak melayan mereka yang saya tak kenal secara peribadi.
“Jadi, kepada mereka yang nak jadi pencipta kandungan, kena bina dinding untuk lindungi diri. Sekarang saya ambil yang positif sahaja daripada komen negatif dan perbaiki diri.
“Disebabkan kutukan mengatakan saya gemuk, saya kini sudah hilang 14 kilogram,” kongsi Mek Yun.
Sementara itu, mengulas watak sebagai D dalam drama arahan Issey Fazlisham itu, Mek Yun mengakui, karakter itu memberi cabaran tersendiri.
“Saya sangat gementar kerana watak D digambarkan wanita Cina Kelantan agak ‘bimbo’ dan ‘blur’.
“Jujurnya, nak bawa watak ‘bimbo’ bukanlah sesuatu yang mudah kerana saya bukan miliki karakter sedemikian dalam kehidupan sebenar.
“Waktu itu, tahap keyakinan saya menurun kerana tak tahu macam mana nak bawakan watak ini. Bagaimanapun, saya mula dapat rentak selepas memasuki set penggambaran.
“Rasa bersyukur kerana pengarah dan penerbit drama menyifatkan watak D menjadi,” ujarnya.