KUALA LUMPUR: Pengalaman menyertai festival muzik antarabangsa bukan sahaja memupuk evolusi muzik tanpa sempadan, malah menjadi ruang terbuka melebarkan sayap perjuangan.

Selepas menjayakan ‘showcase’ di Bandung, Jakarta, Yogyakarta dan Bali, Indonesia, Kugiran Masdo membawa nama lebih jauh apabila melangkah ke festival muzik di Ulaanbaatar, Mongolia dan Busan, Korea Selatan, baru-baru ini.

Kali pertama menyertai festival muzik di dua negara, Kugiran Masdo yang dianggotai Ali Sariah selaku vokalis, Putu Ceri (bes) dan Asmawi (gitaris) menganggap pengalaman diperoleh cukup menakjubkan.

Ali atau nama sebenar, Aliff Fahmi Bahtiar berkata, ia adalah kali pertama menjayakan persembahan di dua negara.

“Kami baru pulang dari Ulaanbaatar dan Busan, awal bulan ini.

“Kugiran Masdo mewakili Malaysia menyertai Festival Round, Busan dan Festival Playtime 2024, Mongolia.

“Bagaimanapun, pengalaman di Mongolia amat luar biasa. Festival Playtime 2024 memiliki 13 pentas keseluruhannya.

“Lokasinya sangat menarik apabila kami menghiburkan penonton di kawasan pergunungan.

“Bukan sekadar pemandangan cantik, tapi penonton yang datang pun memang terbaik, walaupun kami menyanyikan lagu bahasa Melayu. Ia tidak menjadi penghalang buat mereka berhibur.

“Kami memilih menyanyi lagu Melayu dalam mana-mana persembahan di luar negara. Mereka ‘enjoy’ dengan muzik kami,” katanya kepada BH Online ketika ditemui pada sidang media Mahardika: Spider X Ella X Masdo, di Hard Rock Cafe, petang kelmarin.

Ali berkata, Kugiran Masdo menerima peluang menjayakan persembahan di Mongolia dan Busan selepas menjayakan Asian Music Festival, Singapura, tahun lalu.

“Ramai promoter dan ejen hadir ke acara berkenaan, di situlah mereka melihat corak persembahan kami.

“Ketika itu penonton di Singapura agak agresif, jadi mereka merasakan kami boleh dibawa ke luar negara. Alhamdulillah, rezeki Kugiran Masdo dapat menyertai festival muzik antarabangsa.

“Kami akan ke Thailand, Vietnam dan beberapa negara lagi. Kami juga mahu ada rangkaian dengan penganjur di luar negara.

“Mengikut data Spotify, pendengar kami bukan sahaja di Malaysia, tapi ada di Thailand dan beberapa negara yang belum pernah kami pergi,” katanya.

Kugiran Masdo memperjuangkan lagu Melayu ketika menghiburkan pengunjung di Festival Playtime, Ulaanbaatar, Mongolia. - Foto IG Kugiran Masdo
Kugiran Masdo memperjuangkan lagu Melayu ketika menghiburkan pengunjung di Festival Playtime, Ulaanbaatar, Mongolia. – Foto IG Kugiran Masdo

Berkongsi lanjut, Putu Ceri berkata, banyak pengalaman diperoleh ketika menjayakan festival muzik antarabangsa seperti di Mongolia.

“Seronok bermain di festival di luar negara sebab jumlah penonton lebih besar. Memang berbeza. Jujurnya, festival muzik di Mongolia sangat luar biasa.

“Mula menjejak kaki kami agak terkejut. Kami menaiki kereta ke lokasi konsert yang mengambil masa dua jam dari bandar.

“Kami nampak ada penonton datang menaiki kuda beramai-ramai. Kami ingat kena serang atau ‘scam’, tapi bila sampai sahaja, kami lebih teruja sebab festival muzik di kawasan pergunungan yang sangat cantik.

“Fasiliti pun bagus sebab penganjur pacak menara telekomunikasi dan bank kecuali tandas yang kami fikir dua atau tiga kali nak masuk. Namun, ia adalah perkara biasalah bila menyertai festival muzik.

“Memang agak ekstrem di Mongolia, tapi ia pengalaman bermakna. Semoga kali peroleh rezeki ke negara lain pula,” katanya.

Terbaru, Kugiran Masdo akan menjayakan Konsert Mahardika: Spider X Ella X Masdo sempena sambutan Hari Kemerdekaan pada 30 Ogos depan di Spice Arena, Pulau Pinang.

By Azam

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *