Kuala Lumpur: Pelakon Siti Khadijah, 27, paling pantang melihat penderaan terhadap haiwan termasuk anjing meskipun dia sendiri sangat takut dengan haiwan terbabit.

Siti atau nama sebenarnya Siti Khadijah Halim berkata perasaan takut terhadap haiwan adalah sifat biasa namun bukan alasan untuk lakukan penganiayaan.

“Saya tahu ada yang takut kucing, anjing, katak dan sebagainya. Saya faham sangat tetapi kalau anda tidak suka, saya merayu janganlah sakiti mereka.

“Saya baru sedar yang haiwan juga mempunyai perasaan sama seperti manusia. Ada perangai, trauma dan ketakutan. Ya ada yang memandang mudah terhadap haiwan kerana mereka tidak berdaya dan tidak boleh bercakap.

“Namun itu tidak memberi anda hak untuk menyakiti mereka! Saya sangat pantang kalau nampak orang cuba aniaya haiwan,” katanya menerusi sebuah hantarannya di Instagram.

Pelakon From Saga With Love itu berkongsi pernah dikejar anjing ketika menunggang basikal pada zaman kanak-kanak. Dia akui trauma juga sebenarnya.

“Dulu sewaktu usia saya 12 tahun, saya pernah kena kejar anjing. Masa itu saya ingat lagi, saya naik basikal membonceng kawan saya lalu dekat taman perumahan dan tiba-tiba beberapa anjing jalanan kejar kami.

“Saya kayuh selagi boleh tapi saya takut sangat jadi saya lompat dari basikal dan menyorok di tempat pembuangan sampah. Anjing itu menyalak dan meninggalkan kami.

“Waktu itu saya masih kecil lagi, saya memang takut tapi Alhamdulillah tiada sebarang kecederaan berlaku,” katanya.

Memang dia masih ada perasaan takut terhadap anjing hingga kini namun sudah berjaya mengatasinya.

Terdahulu, tular kes seorang lelaki memukul anjing peliharaan di kediamannya menerusi sebuah video dirakam di Kajang.

Pelbagai persatuan pembela haiwan mengutuk tindakan itu selain netizen turut kesal dengan penganiayaan sebegitu.

By Azam

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *