KUALA LUMPUR: Raja Pop, Datuk Jamal Abdillah menganggap zuriat ketujuh yang bakal ditimang awal tahun hadapan adalah kurniaan rezeki.
Justeru, Jamal enggan melayani mahupun membaca komen negatif netizen seolah-olah tidak berpuas hati sebaik mengetahui isterinya, Datin Zai Izzati Khiruddin, 28, kembali hamil.
Jamal berkata, kehamilan isterinya itu tidak dirancang memandangkan pernah mengeluarkan kenyataan tidak mahu menambah cahaya mata selepas kehadiran anak keenam, setahun lalu.
“Kadang-kadang kita tak boleh rancang perkara seperti ini kerana semuanya ketentuan Allah dan inilah dinamakan rezeki.
“Ada orang berusaha macam mana sekali pun, tapi kalau bukan rezeki takkan menjadi juga.
“Soal kata-kata negatif orang, saya ambil sikap tidak melayan mahupun membaca komen dalam media sosial,” katanya yang ditemui pada majlis sidang media Konsert Divas & Diamonds 2024, di sini, petang semalam.
Berkongsi perasaan bakal menimang cahaya mata pada usia 65 tahun, penyanyi popular menerusi lagu Azura itu mengakui seronok dan menganggap kehadiran cahaya mata umpama satu terapi.
“Kehidupan berkeluarga dengan anak sesuatu yang menyeronokkan. Ia umpama satu terapi buat saya.
“Saya tak rasa letih, marah mahupun bosan kerana mereka inilah hiburan saya.
“Lagipun, saya bukan jenis suka keluar rumah, habis kerja terus pulang dan bila sehari tak jumpa anak-anak memang rindu.
“Jadi, sampai sahaja rumah, saya akan cium dan akan tidur bersama anak-anak,” katanya yang mengharapkan zuriat perempuan.

Sementara itu, ditanya apakah ini mungkin cahaya mata terakhirnya, Jamal menyerahkan kepada isteri sama ada masih sanggup untuk mengandung atau sebaliknya.
“Kami sudah rujuk kepada doktor pakar mengenai keselamatan isteri untuk bersalin melalui kaedah pembedahan buat kali kelima.
“Jadi, kami kena fikirkan faktor keselamatan isteri apakah masih boleh mengandung lagi kerana sudah lima kali dibedah.
“Saya tak boleh fikir pasal diri sendiri sahaja tapi kena fikirkan juga kemampuan isteri,” katanya.
Jamal dan Zai Izzati mendirikan rumah tangga pada 1 April 2017, mereka dikurniakan empat cahaya mata, Nur Azura Yamani, 5; El Isaac Yamani, 4; Iskandar Rayyan Yamani, 2; dan Rahil Laura Salsabila Yamani, 1.
Jamal juga memiliki dua anak lelaki hasil perkahwinan terdahulu iaitu Osama Yamani, 21, dan Ahmad Zaki Yamani, 17.