HATI ibu bapa mana yang tidak sedih dan tersentuh apabila anak perempuan yang dijaga selama 27 tahun

kini ‘beralih tangan’ kepada lelaki lain yang bergelar suami.

Saat-saat sedih ini yang dirasai oleh Rahmad Mega pada majlis kenduri kahwin dan resepsi anak keduanya, Farisha Eriena di Johor Bahru, Sabtu lalu.

“Pertamanya, saya lega sebab majlis berjalan lancar dan tenang selepas dirancang untuk satu tarikh yang kita tetapkan. Semua ini diuruskan oleh isteri dan anak saya bersama perunding perkahwinannya.

“Saya hanya jadi tulang belakang majlis. Ketika acara akad nikah, berlaku satu suasana sebak apabila Farisha dan suami, Shaiful Anwar datang jumpa saya dan isteri, Norpaizah untuk minta restu.

“Suasananya memang sedih, tapi saya cuba kendalikan dengan baik kerana tak nak majlis itu dihiasi dengan air mata. Saya cuba buat suasana lebih ceria dan ia berjaya,” katanya.

Rahmad berkata, biasanya pengacara cuba memainkan emosi, tetapi dia mahu mengelak suasana sedih kerana mahukan majlis yang lancar.

“Tak dinafikan perasaan sedih itu ada, tapi biar saya pendam dalam hati. Iyalah, kita dah jaga (anak) sekian lama. Kali ini orang lain yang akan ambil alih tugas kita. Jadi, perasaan itu agak berbelah bahagi, tapi itu jalan dan pengalaman masing-masing.

ANTARA rakan artis yang hadir.
ANTARA rakan artis yang hadir.

“Farisha dan suaminya tinggal di Kuala Lumpur kerana mereka berdua kerja di syarikat swasta. Cuma saya yang belum ada perancangan nak hadiahkan pakej percutian bulan madu untuk mereka kerana faktor ekonomi,” katanya.

Perkahwinan Farisha Eriena yang juga anak kedua Rahmad itu berlangsung di Setia Tropika Welcome Centre, Johor Bahru dan dihadiri 1,500 tetamu.

“Memandangkan majlis dibuat di Johor, ramai kawan artis saya tidak dapat hadir. Agak mencabar juga sebenarnya nak jemput sahabat yang tinggal di Kuala Lumpur supaya datang.

SAAT bersejarah akad nikah Farisha dilangsungkan.
SAAT bersejarah akad nikah Farisha dilangsungkan.

“Apa pun, saya bersyukur kerana komposer LY dan isteri, Baiduri serta Nizam Laksamana bersama isteri datang dari Kuala Lumpur ke majlis ini. Lain-lain yang datang ialah Ayai Illusi dan Bandi Amuk yang tinggal di Johor,” katanya.

Rahmad yang menerima kehadiran menantu pertama dalam keluarganya, amat berterima kasih kepada katering majlis itu kerana menyediakan makanan yang sedap dan mencukupi untuk tetamu.

“Kami sekeluarga cuba buat yang terbaik untuk tetamu. Kalau boleh biar terlebih makanan daripada tidak cukup. Saya pun dah lama kenal dengan pemilik katering sejak zaman Jojo’s Production dan Mega dulu,” katanya kini dalam proses menyiapkan single baharu.

By Azam

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *