KUALA LUMPUR: Tidak menganggap keputusan menceburi dunia nyanyian sebagai terlambat, pelakon, Zul Huzaimy Marzuki, 45, sekadar menyempurnakan minat melontarkan suara.

Biarpun menyedari industri muzik dibanjiri bakat baharu, Zul sedikitpun tidak tercabar. Sebaliknya, dia mahu menambahkan lagi kemeriahan pentas nyanyian.

Mencabar diri, single balada, Fajar Cinta sentuhan Jo Haq dipertaruhkan anak jati Perak ini. Jo Haq menawarkan lagu kepada Zul selepas melihat persembahannya dalam program Mic On Selebriti.

Bercerita mengenai projek single itu, jika mengikut seleranya Zul suka lagu rancak. Namun, sebagai salam perkenalan, dia akur dengan pilihan Jo Haq.

“Mungkin ramai tidak tahu hampir setiap bulan sejak dua tahun lalu, saya berulang alik ke Sabah untuk penuhi undangan nyanyian.

“Jadi, nyanyian bukanlah asing buat saya. Saya banyak menulis lagu. Ada lebih 20 lagu saya cipta. Malah, ada antaranya dijadikan runut bunyi drama.

“Sudah lama saya teringin rakam lagu. Saya pernah bertanya pada Pot Innuendo bagaimana hendak rakam lagu. Akhirnya, saya dapat tawaran daripada Jo Haq,” katanya yang juga aktif sebagai pengarah.

Zul sedikitpun tidak tercabar, sebaliknya mahu menambahkan lagi kemeriahan pentas nyanyian.
Zul sedikitpun tidak tercabar, sebaliknya mahu menambahkan lagi kemeriahan pentas nyanyian.

Zul berkata, sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kira-kira empat tahun lalu, Jo Haq menawarkan lagu yang sepatutnya diterbitkan Allahyarham Tony Spider.

Bagaimanapun, selepas Tony meninggal dunia, projek lagu itu tergendala. Jo Haq kemudian memberi sebuah lagu kepadanya.

“Insya-Allah, selepas Fajar Cinta, ada beberapa lagu yang akan kami rakam termasuk sebuah lagu duet.

“Saya harap pendengar dapat terima buah tangan sulung ini. Mungkin ada yang suka dan sebaliknya. Terpulang kerana setiap orang ada selera masing-masing.

“Saya bukan penyanyi profesional. Namun, saya mahu serius dalam bidang muzik. Saya terbuka untuk terima kritikan asalkan membina,” katanya yang teringin merakamkan lagu rancak untuk ditujukan kepada kumpulan geng motosikal berkuasa besarnya.

Source :

By Admin

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *