Kuala Lumpur: Pasangan pelakon kontroversi, Aliff Aziz dan Ruhainies hadir di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan di sini hari ini untuk lanjutan bon jamin membabitkan kes tangkapan khalwat pasangan itu di sebuah kondominium mewah di ibu negara pada 9 Mac lalu.

Jurucakap Jabatan Pendakwaan Syariah Wilayah Persekutuan (Japens) memaklumkan kes ditangguhkan manakala sebutan kes dan pertuduhan di Mahkamah Tinggi di sini pada tarikh akan datang.

Sebelum ini, Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) Datuk Mohd Ajib Ismail memberitahu kertas siasatan kes khalwat membabitkan pasangan pelakon kontroversi itu sudah dihantar kepada Japens untuk tindakan selanjutnya.

Mohd Ajib berkata, tindakan susulan terserah kepada pihak pendakwaan selepas kertas siasatan diserahkan.

“Siasatan sudah selesai dan Jawi memberi kerjasama kepada Japens bagi melengkapkan siasatan itu. Kertas siasatan sudah diserahkan kepada pihak pendakwaan,” katanya.

Sebentar tadi, Harian Metro melaporkan, Aliff Aziz dan Ruhainies dilihat hadir ke mahkamah syariah di sini, hari ini jam 8.40 pagi dan dilihat beredar jam 11.50 pagi.

Sumber berkata, kedua pelakon itu dibebaskan dengan jaminan mahkamah RM1,500 setiap seorang.

Menurutnya lagi, prosiding kes itu bakal berlangsung di Mahkamah Tinggi di sini pada 3 Julai ini.

Terdahulu, akhbar ini melaporkan Aliff memohon orang ramai mendoakan kes khalwat membabitkan dirinya dengan Ruhainies menemui jalan penyelesaian terbaik.

Menurut Aliff, buat masa ini dia hanya menunggu tindakan selanjutnya selepas memberi sepenuh kerjasama kepada pihak Jawi.

By Azam

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *