NAIB juara pencarian Dewi Remaja 2019, Adriana Ghafar, 26, melancarkan koleksi puisi sulungnya, Everything In Between, baru-baru ini.

Everything In Between ialah gabungan puisi bahasa Melayu dan Inggeris yang digarap dalam tempoh 12 tahun.

Ia menyelitkan tema cinta sejagat, keluarga, penolakan dan kecekalan. Karya ini juga mengandungi mesej khusus untuk golongan wanita dan anak muda yang mencari ketenangan jiwa, inspirasi dan kekuatan dalam mendepani cabaran hidup.

Adriana yang juga pengacara, model dan pembaca berita berkata, Everything In Between adalah satu projek yang dekat di hatinya kerana ia menjadi cerminan intim kepada perjalanan hidupnya.

“Perjalanan hidup saya disampaikan menerusi puisi-puisi yang dihasilkan dalam tempoh 12 tahun. Saya berhasrat memotivasikan dan memperkasa orang lain agar terus kental dalam mengharungi cabaran hidup.

“Di samping itu, saya berharap agar buku ini menyalakan semangat dalam kalangan generasi lebih muda dan golongan yang terpinggir untuk menjadikan puisi sebagai platform penzahiran diri, menjuarai isu-isu yang dekat di hati mereka dan menginspirasi perubahan yang bermakna,” katanya.

Sebagai pejuang tegar hak-hak wanita, puisi-puisi Adriana juga mengangkat tema kesaksamaan gender dan pendayaupayaan wanita.

“Puisi bukan milik golongan elit atau ahli akademik, tetapi boleh dinikmati semua orang. Puisi saya ialah karya yang dekat dengan semua lapisan masyarakat, berupaya menyentuh hati dan mengingatkan bahawa kisah mereka adalah bermakna dan emosi di sebaliknya perlu dikongsi,” katanya.

Adriana berkata, sejak dulu dia sentiasa yakin dengan kuasa perkataan untuk menyembuh, menginspirasi dan menyatukan.

“Koleksi ini mencerminkan perjalanan peribadi hidup saya yang bukannya indah dan bahagia sepanjang masa, tetapi juga dipenuhi liku-liku dan cabaran. Saya terharu dengan sambutan positif yang diberikan dan berharap puisi saya diterima pembaca sekali gus menggalakkan mereka untuk mencari hikmah yang tersirat dalam pengalaman hidup mereka sendiri,” katanya.

Adriana mula menulis puisi sejak di bangku sekolah dan banyak mengambil inspirasi daripada penulis-penulis ternama dunia seperti Maya Angelou, Sharon Olds dan Emily Dickinson.

Dia turut mengagumi penulis-penulis terkemuka negara seperti Datuk A Samad Said, Khadijah Hashim dan Bernice Chauly.

Dalam pada itu, Adriana turut bekerjasama dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Women Of Will (Wow) yang melaksanakan inisiatif pemerkasaan usahawan wanita dalam komuniti berpendapatan rendah.

Adriana turut memberikan sumbangan awal sebanyak RM10,000 kepada WOW sebagai tanda komitmennya dalam kerjasama itu.

Menurutnya, kerjasama dengan Wow cukup dekat di hatinya kerana ia sejajar dengan misi Adriana untuk menyemarakkan semangat wanita melalui puisi, memberikan sokongan yang mereka perlukan untuk menceritakan kisah mereka dan mencipta perubahan yang memberi impak kepada komuniti.

Sementara itu, Pengarah Eksekutif Wow, Lakhwin Muruga berkata, pihaknya berbesar hati dapat bekerjasama dengan Adriana yang berkongsi objektif sama dengan mereka untuk mengangkat golongan wanita.

“Kami ingin saling menyokong wanita dalam mengubah hidup mereka di samping membantu keluarga dan komuniti mereka,” katanya.

By Azam

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *