Kuala Lumpur: Penyanyi Ramlah Ram, 59, sukar melupakan kenangan pahit manis bersama wartawan hiburan, Kamal Huzaini Kamaludin, 59, atau lebih dikenali panggilan Huzz yang meninggal dunia petang semalam.
Ramlah berkata, Huzz banyak mengingatkannya kepada seorang lagi wartawan, Allahyarham Mama Juwie (Abdul Jalil Salleh) yang meninggal dunia pada April 2015.
“Hubungan Huzz dengan Mama Juwie sangat rapat. Begitu juga saya dengan kedua-dua mereka. Jadi pemergian Huzz satu kehilangan besar buat saya kerana dia pernah buat lirik lagu saya berjudul Keangkuhanmu.
“Masa awal-awal karier saya, dia ada bersama-sama sepanjang karier saya bermula. Jadi ia sangat tinggalkan kenangan. Tak ramai wartawan seangkatan karier saya yang tinggal sekarang.
“Sedih tapi kita juga akan ke sana nanti. Semoga dia damai di sana. Masa melawat dia, saya dapat berbual dan rasa puas dapat luangkan masa untuk kali terakhir dengannya,” katanya kepada Harian Metro.
Ramlah berkata, dia juga meminta Huzz menulis lirik lagu Keangkuhanmu walaupun mulanya dia menolak.
“Mama Juwie ada buat lirik dalam album itu dan Huzz juga hasilkan lirik. Lagu itu tinggalkan kenangan apabila saya berjaya menang Golden Vocal di sebuah pertandingan nyanyian di Vietnam.
“Masa melawatnya di hospital, macam-macam diperbualkan seperti kenangan dulu-dulu. Dia cerita masa mula-mula jumpa saya di RTM dan ada masa kami ketawa dan ada juga menangis.
“Saya tahu Huzz hidap kanser usus tahap empat. Memang saya mengharapkan ada keajaiban tapi Allah dah tetapkan masanya dah tiba dan kita semua kena reda dengan ketentuan takdir. InsyaAllah jika ada kesempatan saya akan melawat kuburnya nanti,” katanya.
Jenazah Huzz selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Berpusat daerah Seberang Perai Utara di Permatang Langsat, Kepala Batas semalam.