KUALA LUMPUR: Penyanyi serba boleh kelahiran Singapura, Roslan Shah, 52, tidak menyangka lagu Rojak Maznah Ke Tu berjaya menduduki tangga pertama stesen radio Cakra 90.5 FM di Bandung, Indonesia.

Roslan berkata, dia bersyukur Rojak Maznah Ke Tu ciptaan Pak Dickry dan Akie The Flow diterima baik di Bandung meskipun tidak pernah bertemu dengan mana-mana pihak daripada stesen radio berkenaan.

“Mulanya saya diundang menjadi tetamu di sebuah stesen radio di Batam, dari situ ramai peminat Indonesia mula kenal lagu Rojak Maznah Ke Tu.

“Kemudian, saya dimaklumkan stesen radio di Bandung minta agar e-mel lagu berkenaan kepada mereka untuk dimainkan.

“Tak sangka dalam tempoh 10 minggu akhirnya lagu Rojak Maznah Ke Tu berjaya duduki carta nombor satu di Cakra 90.5 Bandung.

“Lagu ini berentak ‘catchy’ dan unik kerana berkisar mengenai makanan,” katanya kepada BH Online.

Roslan tak sangka lagu Rojak Maznah Ke Tu berjaya menduduki tangga pertama stesen radio Cakra 90.5 FM di Bandung. - Foto IG Roslan Shah
Roslan tak sangka lagu Rojak Maznah Ke Tu berjaya menduduki tangga pertama stesen radio Cakra 90.5 FM di Bandung. – Foto IG Roslan Shah

Lagu Rojak Maznah Ke Tu diinspirasikan daripada jualan rojak yang pernah diusahakannya dan dialog daripada salah satu filem Seniman Agung, Allahyarham Tan Sri P Ramlee.

Sementara itu, Roslan mengakui bangga kerana lagu Rojak Maznah Ke Tu bukan sahaja dikenali di Singapura, Indonesia, Malaysia dan Brunei Darussalam, malah pelancong dari China turut mengenali lagu berkenaan.

“Lagu ini istimewa sebab sudah lama tiada lagu mengenai makanan. Sebelum ini, ada lagu Ayam dendangan Jalil Hamid dan Nasi Dagang (Rosemaria) dan sekarang lagu Rojak Maznah Ke Tu.

“Saya rasa lagu ini dapat nombor satu mungkin disebabkan berkat pengorbanan saya menjaga arwah mak.

“Walaupun ada yang cakap lagu ini macam najis, tapi berkat kesabaran, Allah angkat lagu Rojak Maznah Ke Tu jadi pilihan peminat di Bandung.

“Bukan senang mahu tembusi pasaran Indonesia, tapi saya beruntung kerana diterima di sana,” katanya.

By Azam

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *