Kuala Lumpur: Penyanyi, Nizam Laksamana kekal dengan keputusan penganjuran Showcase Amal Artis Legenda 4.0 pada 1 Jun ini adalah yang terakhir.

Nizam atau nama sebenarnya, Mohd Nizam Pechok, 57, berkata, acara anjuran syarikatnya, Nizam Laksamana Production itu tidak akan diadakan lagi biarpun mendapat permintaan ramai.

“Saya berpegang pada janji bahawa ini showcase terakhir dari siri-siri yang diadakan sebelumnya dan tiada lagi selepas ini. Cukuplah pengalaman yang diperoleh dan dilalui sepanjang menganjurkannya.

“Dalam tempoh penganjurannya, saya memohon bantuan dana daripada pihak tertentu dengan menyediakan kertas cadangan seperti disyaratkan tapi malangnya saya hanya berdepan kekecewaan.

“Seperti saya katakan dalam sidang media pada Mac lalu, seolah-olah wujud kasta atau sikap pilih kasih dalam pemberian dana atau tajaan daripada pihak-pihak tertentu bagi membantu saya merealisasikan persembahan berbentuk amal ini,” katanya.

Terdahulu, penyanyi lagu popular Gugurnya Bunga Cinta ini pernah memohon dana yang diperuntukkan kepada penggiat seni tetapi gagal memperolehnya.

“Bukan pertama kali saya anjurkan showcase. Ini dah masuk kali keempat, tapi masih lagi gagal untuk dapat bantuan atau sokongan daripada pihak yang bertanggungjawab.

“Tujuan saya buat showcase ini untuk bantu rakan-rakan artis veteran dan penggiat industri yang susah atau bernasib malang, namun ia nampaknya sukar dapat sokongan daripada ‘pihak atasan’ bagi memudahkan urusan penganjurannya.

“Dalam kertas kerja yang diajukan kepada pihak-pihak terbabit, saya tak pernah menyembunyikan fakta penganjuran showcase ini yang berbentuk amal.

“Tiada sebarang keuntungan, sebaliknya 100 peratus akan digunakan untuk kerja-kerja kebajikan. Malah kru yang terbabit juga tak akan dapat bayaran gaji,” katanya.

Showcase Amal Artis Legenda 4.0 yang akan berlangsung di Hotel Grand Barakah, Ampang membariskan artis nama-nama popular iaitu Zamani Slam, Zarul Umbrella, Acong Sweetchild, Tam Spider, Ameng Spring, Shafie Rio, Ady Wow, Dwen, Mawi dan Wann.

“Syukur mereka tidak berkira soal bayaran untuk persembahan. Malah, ada juga yang pulangkan bayaran dan minta digunakan untuk tujuan menderma.

“Menerusi misi kali ini, saya akan membantu seramai 20 artis lama termasuk bekas wartawan hiburan yang memerlukan.

“Alhamdulillah jualan meja semakin rancak menjelang hari terakhir showcase. Saya minta mereka yang berminat agar segera beli meja sebelum habis dijual,” katanya.

By Azam

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *