KUALA LUMPUR: Lagu klasik yang dianggap sinonim dengan penyanyi legenda digelar Papa Rock, iaitu Datuk Ramli Sarip seperti Teratai, Kamelia, Bukan Kerana Nama dan Sejuta Wajah, sudah lebih empat dekad menjadi halwa telinga pendengar.

Kebanyakan lagu nyanyian vokalis Kumpulan Sweet Charity itu malar segar, hingga menjadi siulan ramai, hari ini.

Menyelami pengalaman seniman yang sudah lebih lima dekad mengabdikan diri dalam industri, Ramli mengakui tidak berpegang formula, sebaliknya, berbekalkan akar dan jalan cerita kuat dalam karya, sesuai dengan ekspresi hingga lagu diterima.

“Saya pun tidak sangka lagu Teratai sudah berusia hampir 50 tahun, Bukan Kerana Nama pula lebih 40 tahun, semua ini adalah anugerah Allah.

“Apabila sesebuah lagu mampu bertahan lama bermakna roh lagu itu sangat kuat. Apabila menghasilkan sesebuah karya, saya tidak fikir soal laris.

Ramli memulakan kerjaya nyanyian dengan menganggotai kumpulan rock ikonik, Sweet Charity. Foto IG Ramli Sarip
Ramli memulakan kerjaya nyanyian dengan menganggotai kumpulan rock ikonik, Sweet Charity. Foto IG Ramli Sarip

“Apa yang penting, karya kena bagus, ini bukan soal duit, tetapi setiap penyanyi perlu tambah karya mereka untuk memastikan jangka hayat dalam industri bertahan lama,” katanya kepada BH Online ketika memeriahkan sambutan Majlis Hari Raya Media Prima Berhad (MPB) di Balai Berita, Bangsar di sini, baru-baru ini.

Ujar Ramli, suasana industri muzik sekarang amat berbeza. Penyanyi generasi baharu tidak ramai memiliki album. Ada yang sudah 10 tahun dalam industri kreatif, namun, masih belum mampu menghasilkan album.

Ramli tidak menidakkan kebolehan generasi baharu, malah, kagum dengan populariti dan kemampuan melakar nama dengan mudah hingga berjaya bergelar penyanyi hanya melalui platform TikTok.

“Penyanyi sekarang tidak banyak yang miliki album manakala penyanyi yang lahir daripada platform TikTok pula mungkin hanya ada satu atau dua lagu.

“Akhirnya, mereka kena naik pentas untuk menyanyi, tetapi, lagu apa yang mereka hendak nyanyi? Berapa lagu boleh orang boleh dengar? Berapa lagu yang mereka ada dan orang suka?

“Selepas habis nyanyikan dua lagu sendiri, nak buat apa lagi? Macam mana mereka hendak buat persembahan setengah jam?” katanya yang memulakan kerjaya nyanyian dengan menganggotai kumpulan rock ikonik, Sweet Charity.

By Azam

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *