Selepas hampir 15 tahun menguruskan kerjaya sendiri tanpa bantuan syarikat pengurusan, kini penyanyi Haziq Rosebi memilih untuk bernaung di bawah pengurusan Rusa Music.

Melihat perjalanan syarikat pengurusan itu yang berjaya menaikkan nama selebriti tanah air membuatkan penyanyi berusia 36 tahun itu yakin untuk mencuba nasib serta memastikan karier seninya terus bersinar.

Haziq bagaimanapun tidak menafikan wujud rasa bimbang apabila perlu ‘menyerahkan’ sepenuh kepercayaan kepada pengurusan untuk mengatur masa depannya sebagai penyanyi.

“Kali terakhir saya bernaung di bawah syarikat rakaman adalah ketika bersama Maestro Music selepas menyertai program Akademi Fantasia 4 (AF4).

“Kemudian sejak 2009 sehingga sekarang, baru saya mengambil keputusan bernaung dengan Rusa Music.

“Melihat rekod organisasi ini yang cemerlang dalam merencanakan karya baharu buat artis naungan mereka, saya nekad untuk bersama Rusa Music selain memikirkan jangka panjang.

“Mereka keluarkan modal untuk rakam lagu dan kerja promosi. Jadi, soal itu saya tidak perlu risau. Saya gembira penyanyi lagu tradisional dapat tempat di bawah syarikat rakaman itu,” katanya.

Ditanya apakah yang membuatkan Rusa Music memilihnya sebagai artis naungan, Haziq berkata, ketika pertemuan dengan pengurusan, mereka memaklumkan ingin mencari penyanyi yang mahir dalam lagu tradisional.

“Kalau kita lihat senarai artis yang bersama Rusa Music ada macam-macam genre, cuma mereka tiada artis yang mengangkat lagu tradisional.

“Disebabkan itu, pengurusan ingin saya bersama mereka dan sangat serius untuk mengangkat irama tradisional ini ke tahap lebih tinggi,” katanya.

Haziq berkata, dia bakal merakamkan lagu duet ciptaan Affan Mazlan yang menggabungkan elemen muzik moden dan tradisional.

“Saya akan muncul dengan beberapa lagu. Tetapi, untuk single pertama, syarikat mahu saya tampil dengan lagu duet. Sekarang kami pilih penyanyi wanita yang sesuai. Mungkin antara Wany Hasrita atau Baby Shima,” katanya.

Dalam pada itu, Haziq memberitahu masalah gangguan kebimbangan atau ‘social anxiety’ yang dihadapinya belum pulih sepenuhnya.

Disebabkan itu juga, Haziq sering dilihat memakai kaca mata hitam ketika membuat persembahan di hadapan khalayak.

Katanya lagi, masalah gugup melampau mula dikesan ketika dia bersaing di pentas AF4 mengakibatkan tangannya sentiasa menggeletar ketika memegang mikrofon dan dapat dilihat ketara di televisyen.

“Saya anggap kaca mata hitam adalah ‘comfort zone’ (zon tenang) buat saya apabila membuat persembahan.

“Masalah ini saya alami sejak di bangku sekolah hingga perlu ambil makanan tambahan supaya boleh bertenang.

“Disebabkan itu, saya memilih untuk duduk di rumah. Biasanya kalau ada jemputan persembahan saya akan bergegas pulang.

“Bukan sombong. Memang saya bimbang jika ada yang fikir begitu. Tetapi, saya kurang selesa apabila berada di tempat ramai orang,” kata Haziq pada Majlis Hari Raya Media Prima Berhad (MPB) di Balai Berita, Bangsar.

Pada majlis itu, Haziq mendendangkan dua lagu iaitu Selamat Hari Raya nyanyian asal Allahyarham Datuk Ahmad Jais dan Lemak Manis selepas menerima permintaan daripada warga kerja MPB.

By Azam

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *