Isu boikot dan senarai hitam artis bermasalah kembali hangat diperkatakan ramai ketika ini rentetan kontroversi yang melanda industri hiburan tempatan.

Justeru, stesen televisyen, penerbit dan pengurusan produksi juga tidak teragak-agak mengambil langkah drastik bagi membendung salah laku atau isu yang dicetuskan kelompok artis terbabit.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Global Sation Sdn Bhd, Zetty Alia Ramly ketika ditanya pendirian produksi berhubung isu terbabit turut senada dengan pendirian beberapa penerbit dan syarikat produksi untuk ‘merehatkan’ mereka yang berkaitan.

“Kami akan rehatkan dulu atau ‘matikan’ watak pelakon bermasalah itu. Kami juga akan mengelak untuk mengambil pelakon bermasalah atau terpalit dengan isu kontroversi untuk bekerja dalam produksi.

“Isu ini membabitkan semua orang dalam produksi. Kalau seorang (pelakon) yang timbulkan masalah ia akan menjejaskan periuk nasi 30 pelakon dan kru terbabit.

“Kami juga pernah berdepan pelakon bermasalah ketika penggambaran sebelum ini. Selain rehatkannya, kami juga tidak akan mengambilnya berlakon untuk projek akan datang,” katanya.

Mengenai pelakon kontroversi, Aliff Aziz dan Ruhainies pula, kata Zetty Alia, pihaknya belum pernah bekerjasama dengan dua pelakon berkenaan.

“Kalau pelakon itu ada masalah kami akan cuba elakkan dulu mengambil dia berlakon dalam produksi.

“Kami tak nak menghukum sesiapa, selagi belum ada kata putus daripada pihak berkenaan (pihak berkuasa),” katanya.

Ditanya cinta lokasi pula, kata Zetty Alia, itu adalah masalah sesama pelakon sendiri dan itu urusan peribadi.

“Kalau produksi letak peraturan macam mana pun, perkara itu akan jadi juga kerana ia bergantung kepada pelakon sendiri kerana bertepuk sebelah tangan tak akan berbunyi.

“Kalau cinta lokasi berlaku dalam lokasi penggambaran dan kedua-dua pelakon masih ‘single’ serta tidak babitkan orang lain, tak ada masalah pun,”katanya.

Bagaimanapun, katanya, pihaknya lebih selesa bekerjasama dengan barisan pelakon dan kru yang sama.

“Buat masa sekarang, semua pelakon dan kru yang bekerja dalam produksi semuanya okey.

“Kami juga memilih untuk bekerja dengan pengarah, penulis skrip, kru dan pelakon sama.

“Kalau pelakon bermasalah, kami tak ambil dia berlakon dengan produksi,” katanya.

Terdahulu, penerbit terkenal, Datuk A Aida mendedahkan dia sudahpun ‘blacklist’ (senarai hitam) Ruhainies daripada berlakon dalam produksi miliknya untuk memberi pengajaran kepada artis lain.

Menurut A Aida, dia tidak mahu isu Ruhainies yang ditangkap berkhalwat dengan Aliff Aziz oleh Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) di sebuah kondominium di ibu negara 9 Mac lalu, memberi kesan kepada drama atau telemovie terbitan produksi.

By Azam

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *