KETIKA negara dilanda pandemik Covid-19 lalu, pasti ada yang ingat dengan kumpulan Voice Of Men yang muncul dengan lagu spontan, Masak Apa Tak Jadi Hari Ini sempena populariti ‘page’ Masak Apa Tak Jadi Hari Ini di Facebook ketika itu.

Di situ, ramai yang terhibur melihat telatah Voice of Men yang dianggotai Lutfi, Fath, Nasrul dan Akem berkongsi suka-duka dalam memasak yang diterjemahkan ke dalam lagu.

Tidak cukup dengan itu, Voice of Men juga sering menampilkan diri mereka di ruangan komen Facebook dengan komen mereka yang mencuit hati.

Voice Of Men juga banyak melakarkan hasil karya mereka di peringkat antarabangsa dengan menerbitkan suara latar mereka dalam lagu acapella untuk siri kartun popular Zaky and Friends di Sydney, Australia yang meraih lebih 50 juta jumlah tontonan.

Single mereka sebelum ini, Saranghaeyo mendapat tempat dalam drama popular TV3, Nasi Kerabu Untuk Che Abe dan Nurlaila di TV1.

Terbaru, Voice Of Men tampil dengan single ketujuh mereka Biarku Pergi.

Fath berkata, Biarku Pergi sedikit berbeza dengan lagu-lagu mereka sebelum ini dan ia dicipta komposer berpengalaman, Azlan Abu Hassan.

“Azlan adalah komposer yang sangat teliti dan hasil kerjanya sangat baik. Kebetulan, kami adalah penyanyi berkumpulan pertama yang dia pernah bantu untuk hasilkan lagu.”

“Lirik Biarku Pergi ditulis oleh saya dan dibantu isteri. Isteri banyak membantu sepanjang saya bersama dengan Voice Of Men. Selalunya dia yang akan jadi pendengar pertama hasil karya saya,” katanya.

Menurut Fath, genre pop balada adalah sesuatu yang baru buat Voice of Men dan sudah sampai masanya untuk mereka cuba menghasilkan lagu-lagu yang lebih segar. Dalam masa yang sama masih mengekalkan identiti mereka sebagai sebuah kumpulan vokal.

Lutfi berkata, bait-bait lagu ini menceritakan kisah perpisahan antara dua jiwa yang pada awal perkenalan mereka memberikan indikasi bahawa mereka bagaikan dicipta untuk satu sama lain.

“Namun, takdir Pencipta menentukan sesuatu yang bertentangan dengan apa yang mereka gambarkan. Sudah tertulis qada dan qadar bahawa mereka perlu meneruskan kehidupan dengan dengan melalui haluan yang berbeza.”

“Lagu ini amat relevan dengan pelbagai kisah perpisahan yang sering kali kita dengari sama ada dari laman gosip mahupun dari media sosial netizen. Walaupun perpisahan itu biasanya sesuatu yang menyedihkan, namun Voice of Men juga inginkan agar pendengar dapat melihat perpisahan itu dari sudut positif, di mana kadangkala perpisahan itu boleh menjadi satu lembaran baru yang membawa kepada bab baru yang lebih membahagiakan,” katanya.

Sementara itu, Nasrul berkata, ramai mengenali Voice of Men ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dulu sebagai kumpulan yang kelakar.

“Jadi, untuk muzik video Biarku Pergi kali ini, kami bawakan kelainan berbanding muzik video kami yang terdahulu. Dalam muzik video kali ini, kita tampilkan pelakon popular, Zara Zya yang melakonkan watak sebagai seorang pelayan sebuah restoran. Alhamdulillah, proses penggambaran berjalan dengan baik. Tak sangka dia pun kelakar juga orangnya,” katanya.

Nasrul berkata, walaupun mereka kini jarang muncul dalam komen-komen di Facebook, mereka berharap agar semua yang mengikuti mereka atau pernah mengikuti perkembangan mereka di Facebook terus setia bersama mereka.

“Insya-Allah akan datang, ada beberapa lagu baru yang kami akan keluarkan yang akan menampilkan artis- artis seperti Cat Farish (Ruffedge), Ahmad Maembong, Damian Mikhail (VE) dan lain-lain,” katanya.

By Azam

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *