Gandingan duet penyanyi, Sarah Suhairi dan Alfie Zumi menerusi lagu SAH (Setia Akhir Hayat) ternyata menjadi apabila ia terus mendapat tempat di hati peminat sejak dilancarkan tiga bulan lalu.
Malah, muzik video SAH juga sudah mencecah 17 juta tontonan di saluran YouTube Rusa Music.
Tidak cukup dengan itu, lagu duet SAH bukan saja mendapat tempat di hati peminat tempatan, malah di Indonesia kerana SAH versi ‘remix’ dikeluarkan di platform digital seperti TikTok.
Sarah, 23, berkata, dia sangat bersyukur kerana lagu itu mendapat sambutan peminat sekali gus ke Indonesia.
“Alhamdulillah, saya sangat gembira dan bersyukur dengan sambutan pada lagu duet itu. Ramai yang suka lagu duet itu terutama kanak-kanak yang turut sama menari bila menonton video lagu itu,” katanya ketika ditemui Harian Metro dalam satu majlis yang berlangsung di sebuah hotel di Petaling Jaya, baru-baru ini.
Berkongsi mengenai kerjasama dengan Alfie, juara program Big Stage 2018 itu berkata, semuanya bermula di media sosial.
“Saya mula kenal Alfie dengan melihat banyak ‘content’ (kandungan) yang dimuat naiknya di TikTok.
“Pada pandangan saya, Alfie ada kualiti sebagai pencipta lagu dan dari situlah, timbul minat untuk bekerjasama dengannya.
“Bila melihat profil Alfie, saya terus beritahu kepada syarikat rakaman, saya mahu bekerjasama dengannya untuk lagu SAH ini,” katanya.
Menurut Sarah, jika nak diikutkan dia pernah bekerjasama dengan Alfie pada 2020.

“Kami pernah bekerjasama ketika fasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tapi bukan secara langsung ketika dia pernah menjadi koreografer untuk penari latar saya ketika itu.
“Saya tidak dapat datang ketika latihan kerana PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) dan Alfie hantar video bersama penari latar,” katanya.
Ditanya mengenai namanya hanya popular apabila ada lagu baru, Sarah berkata, dia memang suka bereksperimentasi dengan pelbagai genre ketika berkarya.
“Menerusi single pertama dulu ada lagu genre ballad, R & B dan selepas itu banyak lagu OST (lagu runut bunyi drama). Lagu balada juga kerana permintaan peminat.
“Pada tahun ini, saya mahu bertukar angin buat sesuatu lagu yang ‘catchy’, baru dan segar selepas bertemu Alfie dengan lagu SAH.
“Kalau peminat suka dan ada lagi karya menarik untuk saya berduet dengan Alfie selepas ini, saya tidak menolaknya,” katanya yang sudah siap merakamkan beberapa lagu baru pada tahun ini.
Mengulas dakwaan hubungan istimewa dengan Alfie pula, Sarah menafikannya.
“Saya sedar ada pihak yang menyangka kami ada hubungan istimewa sedangkan kami rapat sekadar pasangan duet saja dan tidak lebih dari itu,” katanya.
Alfie selesa kerja dengan Sarah
Sebagai artis baru, Alfie juga gembira kerana lagu duetnya bersama Sarah itu diterima peminat sehingga ke negara jiran.
“Sebagai artis baru, saya fikir orang tak akan kenal sangat diri ini. Namun, ketika berbuka puasa bersama ahli keluarga baru-baru ini, tiba-tiba ada ‘ringtone’ lagu SAH daripada peminat yang duduk di belakang meja kami,” katanya.
Ditanya dakwaan peminat lagu SAH dikatakan berasal dari Indonesia pula, kata Alfie, dia tidak mahu cepat melatah kerana itu pandangan segelintir pihak saja.
“Dakwaan segintir peminat itu tidaklah teruk sangat kerana lagu SAH versi remix memang bunyinya seperti ala Indonesia,” katanya.
Ditanya hubungan dengan Sarah pula, Alfie mengakui mereka rapat dan lebih kepada rakan seperjuangan dalam bidang muzik.
“Saya selesa bekerjasama dengan Sarah. Dia seorang yang ‘energetic’ sedangkan saya pemalu dan perlu membiasakan diri dengannya.
“Sarah ini berbeza daripada artis lain yang saya kenal. Kami akan berbincang dulu sebelum buat keputusan untuk promosi lagu dan sebagainya,” katanya.