KUALA LUMPUR: Pelakon Ammar Baharin sudah menyerahkan dokumen diperlukan kepada Pejabat Menteri Besar serta Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Selangor bagi menyelesaikan isu pertindihan geran tanah milik keluarga di Semenyih, Jumaat lalu.

Ammar berkata, setakat ini, belum ada perkembangan terkini berhubung laporan dibuat dan pihaknya masih menunggu maklum balas daripada PTG Selangor.

“Buat masa ini, nama ibu masih ada dalam sistem (senarai hak milik) dan difahamkan PTG sedang menjalankan siasatan,” katanya kepada BH Online.

Ammar berkata, bagi memudahkan urusan, PTG Selangor menugaskan seorang pegawai khusus bagi mengendalikan kesnya.

“Alhamdulillah, untuk kes ibu saya, kami hanya perlu berurusan dengan seorang pegawai. Jadi, beliau akan bantu mempermudahkan lagi urusan,” katanya.

Ditanya adakah mereka mahu mengambil tindakan terhadap penghuni tanah ibunya, Ammar berkata, langkah seterusnya hanya boleh diambil selepas siasatan kes selesai.

Sebelum ini, BH Online melaporkan, Ammar menuntut penjelasan PTG Selangor berhubung kes tanah milik keluarganya di Semenyih, yang dikesan dikeluarkan geran oleh pihak berkenaan kepada orang lain secara tidak sah.

Ammar dalam perkongsian menerusi akaun X dan Instagram, mendedahkan kejadian itu disedari keluarga ketika arwah ayahnya masih hidup, apabila meninjau kawasan tanah berkenaan untuk diusahakan, namun terkejut apabila mendapati sebuah rumah sudah dibina di situ.

By Azam

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *