KUALA LUMPUR: Meskipun tidak lagi bergelar isteri kepada pengarah sensasi, Syamsul Yusof, namun pelakon Puteri Sarah Liyana masih menjaga hubungan baik bersama bekas keluarga mentua terutama ketika meraikan Aidilfitri.
Pelakon drama Melastik Ke Hatimu itu memilih meluangkan masa bersama Datuk Yusof Haslam, Datin Patimah Ismail dan keluarga pada 1 Syawal selain dua anaknya, Syaikhul Islam dan Sumayyah.
Puteri Sarah atau nama sebenarnya, Puteri Sarah Liyana Megat Kamarudin memberitahu, dia dan anak-anak bercuti ke Pulau Pinang untuk menyertai bekas keluarga mentua.
“Sebelum ini, saya sibuk dengan penggambaran, tapi tahun ini, saya sibuk dengan bisnes. Pada Ramadan lalu, saya sibuk kejar bisnes
“Macam biasa, saya tetap akan beraya dengan bekas keluarga mentua. Selepas itu, kami beraya sekali bersama keluarga saya.

“Kami pergi bercuti di Pulau Pinang sebab secara kebetulan, mama saya pun berasal dari sana. Anak-anak pun hendak bercuti di Batu Ferringhi,” katanya kepada BH Online.
Dalam pada itu, Puteri Sarah berkata, dia meneruskan tradisi menyambut Aidilfitri bersama bekas keluarga mentua kerana tidak pernah menganggap mereka sebagai orang asing.
“Saya masih ikut tradisi beraya dengan bekas keluarga mentua sebab saya tak pernah anggap mereka orang luar biarpun apa yang terjadi.
“Kami masih kekalkan silaturahim, malah saya pula menjalani penggambaran dengan bekas bapa mentua sendiri iaitu cerita polis bagi drama bersiri 30 episod,” katanya.
Sebelum itu, melalui perkongsian di Instagram (IG), Puteri Sarah mengucapkan terima kasih kepada bekas ibu bapa mentua kerana menjaga dirinya dan anak-anak.
Pada perkongsian itu, Puteri Sarah turut memuat naik video sedang memeluk dan bermaaf-maafan bersama bekas ibu bapa mentua.
“Sayang mama dan papa dunia akhirat. Terima kasih selama ini jaga Sarah dan anak-anak, sayang Sarah seperti anak sendiri,” tulis Puteri Sarah.
Puteri Sarah berkahwin dengan Syamsul pada 8 Mac 2014 dan dikurniakan sepasang cahaya mata, Syaikhul Islam, 6, dan Sumayyah, 4.
Pada 14 Jun tahun lalu, kemelut rumah tangga Sarah dan Syamsul akhirnya menemui titik noktah apabila mereka bercerai di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.