Kuala Lumpur: Sebagai artis, penerbit dan pengarah sendiri, Datuk Rosyam Nor, 57, tidak bersetuju menjatuh hukum selebriti yang bermasalah ataupun terpalit dengan kontroversi.

Rosyam atau nama sebenarnya Mohamed Noor Shamsuddin berkata tiada artis yang mahu melakukan kesilapan mahupun dihukum, jauh sekali dipangkah sehingga jejaskan periuk nasi.

“Saya rasa perkataan ‘banned’ itu tidak cantik. Tidak ada seorang pun dalam dunia hendak buat silap, tetapi kadang-kadang perkara itu terjadi.

“Saya sebenarnya menolak perkara seperti ‘banned’ ini sebab kadang-kadang bila seseorang artis itu bersih, semua hendak sanjung dia. Tapi, apabila dia ada buat satu kesilapan takkan kita hendak ‘banned’ terus.

“Siapa yang hendak buat kesilapan. Tapi, jangan sebut ‘banned’ sebab ini rezeki orang. Kita kurangkan kerana industri ini juga adalah perniagaan,” katanya pada sesi fotografi pelakon filem Memoir Seorang Guru di Studio NSTP, di sini, hari ini.

Rosyam percaya langkah terbaik untuk menangani situasi begitu adalah memberi ruang kepada artis yang terbabit.

Selain itu, keputusannya juga tertakluk terhadap stesen TV dan produksi itu sendiri.

“Stesen TV berniaga dan penerbit juga berniaga. Artis juga berniaga mereka punya bakat. Kalau ada penerbit yang merasakan dengan mengambil artis masalah boleh menjejaskan reputasi penerbitan mereka, maka tak perlu ambil.

“Begitu juga dengan stesen TV, kalau menerima artis bermasalah itu boleh jejaskan rating, maka tak perlu ambil. Tapi jangan ‘ban’, beri masa dan ruang untuk berubah sebab semua orang pernah melakukan kesilapan dan semua boleh berubah.

“Tapi kalau yang tak berubah, elok lupakan terus,” katanya.

Menurutnya lagi, dia tidak akan sanggup menghentikan penggambaran produksinya jika berdepan situasi artis terbabit tiba-tiba dilanda kontroversi.

“Kalau saya, saya akan jalan saja,” katanya.

Sementara itu, filem Memoir Seorang Guru lakonannya bakal memasuki pawagam pada 30 Mei nanti. Ia turut dibintangi pelakon cilik Kiki Hannah, Danish Zamri, Baqir Jamalullail, Hafiy Al Tamis dan Dhia Raidah.

By Azam

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *