Kuala Lumpur: Penyanyi Shidee menjelaskan situasi sebenar membabitkan dakwaan memukul abang iparnya di sebuah flat perumahan di Bandar Tun Razak, di sini pada 24 Mac lalu
Shidee atau Rashid Abdul Wahab, 65, menerusi temubual di program Melodi TV3 menjelaskan, kejadian terbabit berlaku secara spontan apabila dia pulang ke rumah mentuanya selepas menjayakan persembahan di Bangi.
“Show agak lewat dan saya balik rumah mak mentua kerana anak saya di situ dan isteri sedang mengandung dah sarat. Jadi sentiasalah saya ke rumah itu.
“Setelah saya balik dalam jam tiga pagi, saya mandi dan duduk di meja dapur. Saya menghafal lagu sampailah lewat pagi dan kemudian keluarlah abang ipar.
“Dia suruh alihkan kaki saya. Saya tanya kenapa kena alih sedangkan boleh berjalan. Ia tak ganggu tempat itu luas lagi. Saya pun tarik kaki, kemudian dia masuk bilik air dan merungut-rungut,” katanya.
Penyanyi lagu Sayang Semuanya Sudah Terlambat ini menjelaskan tidak tahu kenapa abang iparnya merungut.
“Dari bilik air dia keluar dan berhenti pandang-pandang saya. Tak tahu apa puncanya. Jadi malam itu berlaku pertengkaran, bertolak-tolak juga malam itu.
“Habis pada malam itu. Kita tak gaduh apa-apa. Selepas itu saya cakap dengan isteri kenapa semalam abang marah-marah saya. Bila dia (abang ipar) dengar, dia kata kenapa, tak puas hati ke?
“Situlah bermulanya perbalahan itu berlaku. Saya tengok mungkinkah dia memang benci saya, itu saya tak tahu. Apabila pergaduhan berlaku maka kita tak sedarlah, saya buat apa yang terjadi, luka ke, patah ke saya tak tahu,” katanya.
Menurutnya, selepas itu dia pergi balai polis Sungai Besi dan membuat kenyataan mengatakan bahawa memang berlaku pergaduhan.
“Saya kena tahan dua hari dahulu untuk buat siasatan. Saya beranggapan ini sama ada memang Allah jadikan saya, lahirkan saya, takdir saya begini.
“Saya tak nafi ini semua. Tapi walau apapun semua yang berlaku sama ada soal siapa mulakan dulu demi Allah saya tidak salah. Walaupun saya dipersalahkan, walaupun orang kata saya tak betul, tapi percayalah Allah lebih tahu.
“Saya tiada nak sahkan diri nak kata baik, saya tak berani. Orang lah yang memulakan kepada saya. Dua kali orang buat sampai saya takut dah,” katanya.
Shidee turut menafikan dia seorang yang panas baran atau gangster.
“Kalau saya baran tanya bini saya pernahkah saya jentik dia? pernahkah saya jentik anak-anak? Kalau saya baran mereka tahu. Pergi tanya!
Cuba kalau tuan diprovokasi apa kata tuan? Tuan mesti marah.
“Saya dengan isteri tiada masalah apa-apa kerana dia tahu saya tak pernah melakukan kekasaran padanya. Kalau seandainya saya melakukan kekasaran pada dia, dah tentu dia pun tak setuju dengan saya dan tentu dia akan marah saya.
“Tuhan tahu apa yang saya buat. Kepada netizen ini fahamilah keadaan saya. Orang selalu provokasi saya, tak tahu kenapa. Takdir saya begini.
“Saya harap abang ipar saya faham perkara itu dah berlaku. Dia harus faham dan dia harus tahu siapa yang salah. Saya nak berdamai. Saya tak nak bergaduh. Itu sahaja,” katanya.
Terdahulu, polis menahan artis veteran yang didakwa memukul abang iparnya selepas berlaku perselisihan faham.
Menerusi kenyataan yang dikeluarkan, penyanyi itu direman bagi membantu siasatan.