SELEPAS lapan minggu berentap, program Akademi Qurra’ musim kedua yang bersiaran secara langsung di TV AlHijrah melabuhkan tirainya dengan menobatkan Tilmiz Amnan sebagai juara.
Kemenangan itu sekali gus menewaskan empat finalis lain iaitu Tilmiz Luqman, Tilmizah Sofea, Tilmizah Syahira dan Tilmizah Sholihah.
Amnan yang juga pelajar Ijazah Sarjana Muda Sains Kejuruteraan Mekanikal di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Sarawak membawa pulang wang tunai berjumlah RM25,000 beserta trofi.
Kata Amnan, dia bersyukur dengan kejayaan yang diraih dan berterima kasih kepada barisan juri yang mengangkat namanya sebagai juara.
“Saya anggap ini adalah rezeki yang sudah Tuhan tentukan. Setiap minggu cabaran yang kami perlu tempoh adalah berbeza-beza.
“Saya kerap tak sihat dalam pertandingan sehingga setiap kali sebelum nak membaca akan letih. Mungkin terlalu fokus untuk berikan yang terbaik.
“Saya bersyukur atas kemenangan ini dan terima kasih kepada juri kerana memilih saya sebagai juara. Insya-Allah duit ini akan digunakan untuk masa depan dan kegunaan seharian saya,” katanya.ADVERTISING
Sementara itu, Syahira dinobatkan sebagai tempat kedua serta pemenang Alunan Terindah, sekali gus melayakkannya membawa pulang wang tunai RM10,500.
Manakala tempat ketiga disandang oleh Sofea dengan wang tunai berjumlah RM5,000 dan trofi.
Selesa di tempat sagu hati ialah Sholihah dan Luqman membawa pulang wang tunai RM1,000 setiap seorang.

Menyentuh mengenai keseluruhan persembahan peserta pada musim kali ini, juri tetap iaitu Ustazah Sharifah Khasif Fadzillah berkata, perbezaan markah bagi setiap peserta sangat rapat, sekali gus memberikan saingan sengit.
“Pada pentas final ini kita dapat lihat mereka sangat fokus dengan tugasan masing-masing. Perbezaan markah berlaku ketika soalan dari juri yang kedua. Dalam ramai-ramai, Syahira yang boleh jawab. Apa pun semua dah buat yang terbaik.
“Kalau boleh dikongsikan markah antara juara dan naib juara hanya satu markah dan pemenang tempat ketiga tak sampai satu markah, dalam 0.87 peratus,” katanya.
Dihoskan oleh Raqib Majid, Akademi Qurra’ 2024 turut menampilkan Mudarris Ammar Mukhlis, Mudarrisah Suhailah Zulkifly dan Mudarrisah Nadia Hashim yang bertindak selaku tenaga pengajar.
Program yang ditayangkan pada setiap Sabtu jam 9 malam itu menampilkan juri tetap Ustazah Sharifah Khasif Fadzillah Syed Mohd Badiuzzaman dan dibantu oleh Ustaz Muhammad Qayyim Nizar Sarim serta juri jemputan, Erma Fatima.
Kredit: Harian Metro