KUALA LUMPUR: Andai di Barat, Konsert David Foster & Friends menyaksikan maestro muzik tersohor itu menghimpunkan anak didiknya di pentas, peminat di Malaysia, bakal menyaksikan acara sama.
Melalui Konsert By Ajai & Mega Friends di ibu negara pada 3 Ogos depan, komposer dan penyanyi itu akan mengundang anak seni yang pernah melakar nama dengan untaian indah ciptaannya pada konsert berskala besar.
Mereka adalah Dayang Nurfaizah, Aina Abdul, Hazama, Hafiz Suip dan penyanyi muda yang semakin meningkat naik, Aufahanie.
Ajai berkata, impian untuk mementaskan konsert itu sudah tertanam sejak awal pembabitannya dalam bidang seni.
“Sebagai penulis lagu dan penerbit, adalah menjadi impian mereka mengadakan konsert. Konsert ini bakal menjadi tanda dagang kepada hasil kerja saya menerbitkan lagu untuk ratusan penyanyi.
“Justeru, kebanyakan lagu yang saya pernah terbitkan adalah ‘single’ mereka. Untuk konsert yang pertama ini, saya himpunkan mereka yang masih relevan dan menarik penonton muda.
“Tarikan pertama sudah tentu kita hendak cari penyanyi muda yang bagus, contohnya, Aina. Walaupun dia sudah lama, tetapi, baru beberapa tahun kebelakangan ini namanya mula dikenali.
“Ini adalah konsert permulaan. Saya ada impian untuk menjadikan nama By Ajai & Friends itu sebagai jenama.
“Saya ada ramai artis yang pernah menyanyikan lagu saya seperti Datuk Seri Siti Nurhaliza, Ella, Krisdayanti, Misha Omar dan ramai lagi.

“Mereka ini akan saya tampilkan dalam konsert edisi Volume 2 kelak,” katanya pada sidang media di Petaling Jaya, baru-baru ini.
Mengulas cabaran yang dihadapi untuk menganjurkan konsert itu, Ajai atau nama sebenar, Mohd Faizal Maas, 50, berkata kekangan utama adalah untuk mendapatkan kata persetujuan semua artis.
“Risiko paling utama adalah saya kena ikut masa mereka. Selain digelar Mega Friends, mereka ini adalah ‘megastar’.
“Saya kena tahu nilai mereka. Lagipun, masing-masing ada pengurusan sendiri dan cara kerja mereka.
“Tidak bolehlah saya hendak berpandukan kuasa veto sebagai komposer atau produser mereka. Itu sebelum nama mereka besar.
“Apabila mereka sudah punya nama besar, kami kenalah hormat pengurusan mereka. Bukan perkara mudah untuk menganjurkan konsert ini,” katanya.
Mengenai perjalanan konsert, genius muzik itu memberitahu, selain persembahan solo, dia akan berpadu suara dengan setiap penyanyi undangan.
“Mereka hanya menyanyikan lagu ciptaan saya dalam konsert ini. Mungkin lagu sendiri atau lagu penyanyi lain yang saya pernah hasilkan.
“Apa yang pasti, saya akan berduet dengan mereka. Ada antara lagu itu sudah pun dirakamkan. Contohnya lagu Hati Ini Telah Dilukai yang saya rakamkan kembali bersama Aina.
“Selain menyanyi, saya juga akan menceritakan pengalaman dan kisah di sebalik lagu yang belum pernah saya kongsi,” katanya.
Konsert By Ajai & Mega Friends yang dibawakan khas Menara Network Sdn Bhd bakal berlangsung di Megasatar Arena, Kuala Lumpur, iaitu lokasi sama Ajai pernah beraksi bersama kumpulan Exists.
Ajai berkata, lokasi itu dipilih kerana dia mahu bunyi akustik mantap.
“Saya fikir lokasi itu adalah tempat yang sesuai dan tepat untuk konsert ini dianjurkan,” katanya.
Untuk konsert pertama itu, Ajai akan menggunakan khidmat komposer Sharon Paul sebagai pengarah muzik serta dibantu pemuzik ‘strings’.
Kredit: Berita Harian