Sha’arin dan Yasmin bercuti bersama anak-anak di Bali.
Kuala Lumpur: “Tak usah ribut. Kami tetap kawan untuk kebaikan anak-anak. Tidak lebih dari itu,” kata Sha’arin Razali, 55, yang memuat naik gambar dia bercuti bersama bekas isterinya yang juga pelakon dan pengacara, Yasmin Hani, 45, dan dua anak mereka di Bali, Indonesia.
Menerusi hantaran di Instagram itu, Sha’arin yang juga bekas pemain dram Black Rose berkata, dia dan Yasmin masih mengekalkan hubungan baik demi anak-anak walaupun sudah tiga tahun bercerai.
Menurutnya, percutian itu juga demi memenuhi permintaan anak mereka untuk bercuti sebagai satu keluarga.
“Kami pergi bercuti bersama sebagai satu keluarga kerana itu adalah permintaan anak lelaki, Noah, ” tulisnya.
Mengulas status Yasmin yang sudah memiliki kekasih, Sha’arin berkata, dia juga menghormati perkara itu.
“Kami akan sentiasa menjadi ibu bapa kepada Eissa dan Noah dan ia tidak akan berubah. Justeru, kami perlu mengekalkan hubungan baik ini.
“Saya menghormati Yasmin yang sudah berpunya dan saya lebih selesa hidup menduda,” tulisnya.
Sha’arin berkahwin dengan Yasmin pada 2011 tetapi mengambil keputusan untuk bercerai pada Disember 2021.
Hasil perkongsian hidup, mereka dikurniakan dua anak iaitu Noah Ismail Wong, 10; dan Eissa Elzander Wong, 7.