Azmir ketika sidang media majlis pelancaran ‘7th Malaysia International Film Festival (MIFF) 2024’ di Kuala Lumpur.

Kuala Lumpur: Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) mahu terus menjalin pelbagai kerjasama demi memajukan kualiti filem tempatan termasuk program pemantapan filem di peringkat antarabangsa.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Azmir Saifuddin berkata, langkah itu bertujuan membasmi penerbitan filem-filem kurang berkualiti.

“Selepas mengenal pasti filem-filem itu, sebenarnya peratusan filem tidak berkualiti tidaklah banyak berbanding peratusan filem berkualiti yang lebih tinggi. Apa pun, Finas akan atasi kelemahan.

“Fokus kami adalah kepada pembangunan idea dengan mempelbagaikan program usaha sama membabitkan penggiat antarabangsa untuk memberi pendedahan kepada penggiat filem tempatan. Kita bercadang menghantar penulis skrip dan penerbit mengikuti program kerjasama itu,” katanya di sidang media Festival Filem Antarabangsa Malaysia (Miffest) ketujuh, di sini.

Azmir berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kebanjiran filem-filem tempatan berkualiti rendah yang ditayangkan di seluruh negara sejak kebelakangan ini.

Azmir turut menasihatkan penggiat filem tempatan menyahut seruan kerajaan dengan menghasilkan filem berkualiti.

“Kita tak boleh menjangkakan sambutan masyarakat terhadap filem kita, tapi kita boleh tetapkan hala tuju serta kualiti filem yang dihasilkan.

“Kepada penggiat filem, belajarlah dan perbaikilah mutu penghasilan filem apabila gagal di percubaan pertama.

“Kerajaan dah sediakan platform dan wujudkan peluang. Tinggal kita untuk meneruskan dan memanfaatkan peluang yang diberikan,” katanya.

Sementara itu, Finas akan turut serta menjalin usaha sama bagi memantapkan penganjuran Miffest tahun ini.

Festival terbabit bakal berlangsung di TRX, di sini pada 21 hingga 28 Julai ini.

Source :

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *