Ampang: Penyanyi, Ippo Hafiz, memfailkan tuntutan nusyuz terhadap isterinya, Fara Roslan di Mahkamah Rendah Syariah, di sini, selepas tidak pulang ke kediaman kelamin sejak November, tahun lalu.

Ippo hadir di mahkamah bersama peguam syarie, Fakhrul Azman Abu Hassan berkata, isterinya keluar tanpa keizinannya.

“Hari ini selesai sebutan pertama di mana saya memfailkan tuntutan nusyuz terhadap isteri. Fara keluar rumah tanpa izin sejak November tahun lalu.

“Pelbagai usaha sudah dilakukan, jadi ini (tuntutan nusyuz atau bermaksud keengganan isteri mentaati perintah atau permintaan suami yang sah di sisi syarak) salah satu langkah yang perlu saya lakukan sebagai suami,” katanya.

Bagaimanapun, isterinya, Fara tidak hadir ke prosiding berkenaan.

Menurut Ippo, dia tidak berkongsi masalah rumah tangga di laman sosialnya demi menjaga aib dan kehormatan keluarganya.

“Siapa yang nak diuji begini? Kalau tanya saya, saya pun tidak sangka, kami akan pergi sejauh ini. Semestinya sebagai seorang suami memang saya tak sangka saya akan lalui semua ini,” katanya.

Ippo yang juga seorang komposer tidak menyangka rumah tangga yang dibina sejak 2019 akan diuji dengan perceraian.

Katanya, anak bongsunya kini berada di bawah jagaannya manakala yang anak pertama bersama isterinya.

“Anak kedua saya, Ibrahim bersama dengan saya dan anak sulung dengan dia. Jadi Ramadan saya bersama Ibrahim saja.

“Tak boleh nak cakap perasaan ini macam mana, saya hanya boleh cakap, saya sayangkan keluarga saya,” katanya.

Ippo turut memohon sempena bulan baik ini, orang ramai boleh mendoakan yang terbaik buat dirinya.

“Saya mohon agar semuanya dipermudahkan dan akan berjalan dengan lancar. Saya memang tak boleh berkongsi apa yang berlaku kerana ini membabitkan nama baik keluarga,” katanya.

Terdahulu, Ippo dan Fara mendirikan rumah tangga pada 24 Ogos 2019 dan dikurniakan dua cahaya mata lelaki.

Kredit: Harian Metro

By Azam

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *