Kuala Lumpur: TV3 memberi peluang kepada finalis Anugerah Juara Lagu ke-38 (AJL38) dan produksi untuk menampilkan pelbagai aksi lasak bagi mencuba benda baru dalam persembahan.
Ketua Pegawai Eksekutif Rangkaian Televisyen Media Prima dan Primeworks Studio, Nini Yusof berkata, pada awalnya dan timbul kebimbangan, namun dia bersyukur kerana semuanya berjalan lancar.
“Semasa perbincangan dengan pihak produksi, mereka bentangkan mengenai beberapa persembahan yang membabitkan aksi lasak dan saya agak risau.
“Tapi, kami beri peluang kepada produksi dan artis untuk cuba sesuatu yang baharu. Alhamdulillah, semasa sesi raptai, semuanya berjalan lancar.
“Ada yang merahsiakan konsep persembahan, tapi dari segi persiapan mereka, ada sesuatu yang agak berlainan.
“Tahniah kepada semua artis dan pengurusan mereka kerana berani mencuba sesuatu yang agak lasak, tapi menarik,” katanya.
Nini berkata, pihaknya juga berpuas hati dengan keputusan juri yang mengangkat lagu Hasrat ciptaan dan nyanyian Amir Jahari sebagai juara.
“Secara keseluruhannya, kami di TV3 amat berpuas hati dengan keputusan juri. Kami rasakan lagu Hasrat memberi nafas baharu dalam industri muzik,” katanya.
Pentas AJL38 menyaksikan ‘perang konsep’ antara finalis dengan pelbagai koreografi dan aksi lasak yang lain daripada kebiasaan.
Antaranya, persembahan Aisha Retno dan Aina Abdul yang ‘terbang’ menggunakan kabel, Shiha Zikir yang tampil dengan koreografi luar biasa serta Khai Bahar dan Nabila Razali yang menggunakan jambatan tinggi.