Kuala Lumpur: Penyanyi Marsha Milan Londoh, 38, bersyukur tahun ini ada rezeki lebih untuk dirinya tampilkan corak persembahan lebih gah pada Anugerah Juara Lagu (AJL) ke-38, Ahad nanti.
Kali ketiga tampil di pentas AJL, Marsha cuma risaukan sekiranya berdepan dugaan sepanjang persiapan mahupun persembahan nanti berbanding pulang dengan tangan kosong.
“Memang tidak dinafikan saya juga masih rasa gementar dan takut. Bukan takut kalah, cuma takut ada hal-hal tidak diingini berlaku. Baik sepanjang persiapan apalagi pada hari sebenar.
“Syukur tahun ini ada usaha lebih daripada segi persiapan. Kalau tengok, dua tahun sebelumnya, persediaan saya lebih ringkas. Tahun ini, ada rezeki untuk meriahkan lagi persembahan saya atas pentas.
“Itulah yang boleh ditunggu untuk persembahan saya Ahad ini,” katanya yang bakal membawa pasukan tarian mengiringi persembahnnya nanti menerusi lagu Darah ciptaan Naim Daniel dan Firdaus Rahmat.
Marsha yang meraih naib juara dan persembahan terbaik pada AJL36 bagaimanapun memang tidak nafikan masih berdebar.
“Bahang itu makin terasa. Ini adalah kali ketiga saya bertanding di AJL, saya tak letak sangat harapan menggunung. Tak rasa mahu bersaing pun, lebih kepada tinggalkan persembahan terbaik.
“Pada akhirnya, juri-juri pasti sudah ada pilihan pemenang. Cuma terpulang untuk memberikan persembahan memukau saja lagi. Ia adalah platform untuk tunjuk bakat kami serta kerjaya sebagai penyanyi,” katanya.
Apapun, Marsha tetap percaya Darah ada kekuatan tersendiri meskipun lagu-lagu lain yang bertanding juga memang banyak sangat bagus.
“Darah daripada segi lirik memang agak kuat jugalah. Tapi nanti terpulang kepada rezeki masing-masing. Secara peribadi, saya tak nafikan kebanyakan lagu lain juga sangat bagus.
“Kalau saya jadi juri pun, pasti sangat sukar kerana dalam kepala saya, ada beberapa penyanyi yang sangat berpotensi untuk jadi juara. Kita tengoklah bagaimana nanti,” katanya.