Kuala Lumpur : “Boleh bayangkan anak berusia dua tahun dibawa keluar dari rumahnya? Ia suatu yang memberikan kesan trauma pada anak itu. Saya sangat tertekan dan risau dalam tempoh itu.” 

Demikian kata aktivis kemanusiaan, Mizz Nina yang mendedahkan anak angkatnya iaitu Musa dibawa keluar dari rumahnya tanpa keizinan dan pengetahuannya sehingga menyebabkan dia tidak dapat berjumpa Musa selama lebih tiga minggu.

Mizz Nina atau nama sebenarnya, Shazrina Azman, 44, berkata, perkara yang disifatkan sebagai satu pengkhianatan itu memberikan kesan emosi pada dirinya.

Malah, dia yang juga ibu susuan kepada Musa tidak pernah berjauhan selama itu. 

Menurutnya, Musa dibawa keluar dari rumahnya  pada 19 Disember tahun lalu, ketika dia dalam penerbangan menuju ke Tokyo, Jepun atas urusan kerja.

“Apabila mendarat, saya diberitahu bahawa Musa sudah dibawa keluar dari rumah oleh pengasuhnya yang saya ambil bekerja sepenuh masa. Semua ini terjadi ketika saya di atas kapal terbang. Tanpa keizinan dan pengetahuan saya.

“Boleh bayangkan apa yang saya rasa bila  mendarat? Dari situ saya terbang pulang ke Kuala Lumpur dan di situ juga saya dapat tahu Musa bersama bekas suami. Selama lebih tiga minggu saya tidak tahu di mana Musa berada. Kami tidak berhubungan dengan Musa, tiada apa-apa,” katanya kepada Harian Metro.

Susulan itu, Nina yang memiliki semua dokumen sah berkaitan anaknya menggunakan saluran undang-undang untuk mendapatkan Musa kembali. 

“Kami semua sangat risau akan keselamatannya, ibu bapa saya dan semua orang. Ia adalah satu pengkhianatan. Jadi satu-satu caranya untuk mendapatkan dia kembali adalah dengan menggunakan saluran undang-undang.

“Kami mempunyai dokumen yang lengkap, dan juga segala yang berkaitan syariah. Disebabkan itu kami mendapatkan perintah mahkamah dan Alhamdulillah, saya dapat Musa kembali.

“Apa yang menjadi persoalan, mengapa bekas suami tidak mengambil Musa dengan cara yang betul di sisi undang-undang? 

“Sebab dia tidak mempunyai dokumen yang lengkap dan memilih cara yang salah iaitu merancang dan menunggu saya tidak ada dalam negara, dan mengambil Musa. Memanipulasi dan merancang serta tidak jujur, tapi tiada siapa tahu semua ini,” katanya.

Menurutnya, dia mendakwa tindakan bekas suami itu sudah dirancang dari awal dan hanya menunggu masa yang tepat untuk mengambil Musa dari jagaannya.

“Saya percaya dia menunggu saya tiada di Malaysia dan merancang semua ini. Dia boleh melakukan dengan cara betul sebelum melakukan perkara gila ini, tapi dia tak buat. 

“Bagi saya kesihatan dan keselamatannya sangat penting buat saya sebab ia menyebabkan trauma apabila anak kecil dibawa keluar dari rumahnya selama lebih tiga minggu.

“Saya mempunyai hak untuk menjaga Musa dan mengikut undang-undang, Musa sememangnya di bawah jagaan saya dan bekas suami tahu semua itu,” katanya. 

Menurutnya, kenyataan diberikan bagi berkongsi perkara sebenar memandangkan selama ini dia tidak bersuara membabitkan perkara itu di media sosial.

“Saya rasa ramai yang kenal saya seorang yang sangat menjaga privasi. Saya memang seorang yang tidak akan mengeluarkan kenyataan. Boleh tengok kehidupan saya, walaupun selepas saya bercerai dengan dia, saya tak buka aib dan saya tak cerita apa-apa mengenai dia.

“Untuk saya mengeluarkan kenyataan ini, bermakna suatu yang salah sudah berlaku sebab saya tidak sesuka hati mengeluarkan kenyataan. Saya tak pernah buat perkara macam ini, saya keluarkan fakta ini untuk anda fikirkan,” katanya.

Pada masa sama, Nina turut menafikan dirinya sukar untuk berkomunikasi dengan bekas suami ketika mahu mengambil Musa.

“Sebelum adanya perintah mahkamah, kami ada berkomunikasi dan dia ada bertanya sama ada dia boleh jumpa Musa dan kemudian tiba-tiba tak boleh sebab dia sibuk. 

“Namun dari segi komunikasi, dia bukan mahram saya, jadi tidak sesuai untuk bukan mahram menghubungi saya. 

“Dalam Islam, perkara itu salah. Kalau dia mahu berkomunikasi, lebih baik berhubung dengan mahram saya iaitu suami (Essam Muhammad) atau bapa saya,” katanya.

Sementara itu, Nina turut melahirkan rasa kesal apabila bekas suami melanggar perjanjian apabila bertindak berkongsi wajah Musa di laman sosial.

“Saya bimbang dengan keselamatan Musa jadi seperti yang diminta ibu kandung Musa, kami mahu wajah Musa tidak didedahkan. 

“Sebelum ini saya tidak pernah berkongsi wajah Musa untuk tatapan umum. Kalau saya muat naik gambarnya sekali pun, saya tidak dedahkan wajahnya,” katanya.

Dalam pertemuan itu juga, Nina berkata buat masa ini dia tidak ada apa-apa tuntutan ke atas bekas suaminya, selain mahu berkongsi keadaan dan perkara sebenar mengenai apa yang berlaku.

Terdahulu, ibu kandung kepada Musa yang hanya mahu dikenali sebagai Athira menafikan dakwaan dia memberi keizinan kepada penyanyi, Noh Salleh untuk mendapatkan Musa.

Athira sewaktu ditemui Harian Metro berkata, dia dimanipulasi dan dipergunakan oleh penyanyi itu untuk kepentingan sendiri bagi mendapatkan Musa yang dibawa keluar dari rumah Mizz Nina, dengan bantuan seorang pengasuh. 

Kredit: Harian Metro

By Azam

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *