PETALING JAYA: Serik foto pernah tersebar tanpa pengetahuannya, malah, dijadikan bahan jenaka membuatkan Anuar Zain kurang selesa jika peminat merakam gambarnya secara curi-curi.

Anuar lebih suka peminat bersemuka dan meminta kebenaran merakamkan gambar, malah, penyanyi bervokal mantap ini lebih mengalu-alukan hak privasinya dihormati.

“Saya suka melayan peminat macam kawan. Mereka hendak rakam gambar dengan saya, boleh, asalkan jangan curi-curi. Itu seperti mereka curi harta dan langgar hak privasi saya.

“Bukankah lebih elok kalau bertanya? Insya-Allah, saya layan. Malah, saya sanggup berhenti makan jika ada peminat minta kebenaran secara elok. Jarang saya tolak kecuali keadaan memaksa.

“Saya lebih suka begitu kerana dapat berkenalan, bertanya khabar dan berkongsi aura baik dengan peminat. Kalau nampak rakam gambar saya curi-curi, saya panggil dan tegur baik-baik.

“Saya akan ajak mereka bergambar. Apabila ditanya, mereka cakap segan. Saya selalu cakap buat apa hendak segan sebab jika saya ‘tertangkap’ mereka (curi-curi rakam gambar), detik itu jadi lebih janggal,” katanya ditemui pada acara santai sempena showcase Anuar Zain 40 Exclusive Up Close and Personal di sini, Rabu lalu.

Showcase Anuar Zain 40 Exclusive Up Close and Personal akan dipentaskan di Jiospace, Petaling Jaya, pada 17 Februari depan.

Anuar berkata, dia pernah disabotaj peminat apabila tersebar foto dirinya dalam keadaan tidak bersedia dan sedang menikmati juadah, dirakam secara curi-curi hingga dijadikan bahan ketawa.

“Saya ada kehidupan sendiri dan tidak suka ruang peribadi diceroboh. Apa yang saya nampak, masyarakat sekarang suka sabotaj dan melakukan provokasi.

“Bagi saya, sikap itu sangat buruk lebih-lebih dengan kewujudan teknologi dan media sosial. Orang boleh sesuka hati rakam gambar dan sebarkan.

“Pelaku tidak kira sama ada individu yang hendak dirakam foto itu bersedia atau tidak.

“Saya pernah terkena, sebab itu saya lebih suka peminat minta izin sebelum rakam gambar saya,” katanya.

Anuar mengaku ketika mula menyanyi, dia janggal apabila diajak bergambar dengan peminat.

“Sekarang saya faham. Mungkin ada peminat yang sudah 10 tahun meminati, tetapi, tidak berpeluang berjumpa.

“Saya suka hargai peminat hinggakan jika ada yang menghantar mesej langsung (DM) di Instagram (IG), saya layan bergantung kepada kelapangan saya,” katanya.

Kredit: Berita Harian

By Azam

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *