Kesempatan menyanyikan lagu Kuda Hitam nyanyian asal Hetty Koes Endang pada program All Stars Gegar Vaganza (ASGV) baru-baru hari membuka peluang keemasan lain buat penyanyi Naqiu.
Tuah menerpa Naqiu atau nama sebenarnya Wan Naqiudin Mohd Najib, 38, apabila ditawarkan beraksi sebagai artis jemputan untuk konsert After Hours With Hetty Koes Endang (AHHKE) yang berlangsung pada Februari depan.
Baginya, itu antara tawaran yang cukup bermakna buatnya dalam banyak-banyak diterima kerana bakal sepentas dengan Hetty. Figura itu cukup dekat dan disanjunginya sekian lama.
“Agak besar walaupun saya sebagai artis jemputan saja, tetapi sepentas dengan guru saya dan anggap sebagai ibu. Orang yang banyak membentuk karakter nyanyian saya daripada 2019 sampai hari ini.
“Satu peluang yang bukan semua orang boleh dapat. Bunda agak pemilih juga sebenarnya. Saya bertuah, alhamdulillah,” katanya pada sesi bertemu media sempena promosi AHHKE, baru-baru ini.
Semakin rancak mengangkat semula nama dan kariernya, Naqiu sentiasa ingin pencapaiannya meningkat. Baik konsert mahupun dalam mewarnakan corak karya muzik dihasilkan.
“Saya akan cuba naikkan satu tahap lagi karier nyanyian saya sebab selepas All Stars Gegar Vaganza, peluang lebih besar terbuka. Contohnya konsert ini.
“Selepas kemunculan kembali saya pada 2019, saya banyak cipta lagu sendiri. Tapi, kali ini nak pakai atau bekerjasama dengan komposer lain untuk lagu baharu,” katanya berkongsi perkembangan terkini.
Lembaran 2024 bakal dibukanya dengan pencapaian cukup bermakna dalam aspek diskografi.
Katanya, dia tidak sabar menantikan projek hebat di depan termasuk bersama Datuk M Nasir.
“Antaranya lagu bersama M Nasir. Sekarang beliau tunggu saya untuk jumpa dan kami akan pilih melodinya. Beliau bertindak sebagai komposer sahaja,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Eksekutif Visual Print Sdn Bhd, Anis Fathiah Abd Hamid selaku penganjur berkata, pemilihan Naqiu tidak lain kerana pesona pentasnya cukup bertepatan dengan konsep dan tema acara AHHKE.
“Kami mencadangkan beberapa nama penyanyi tempatan bagi memeriahkan lagi malam AHHKE, namun nama Naqiu menjadi pilihan utama kami dan Bunda.
“Mungkin impak persembahan Naqiu yang menyanyikan lagu Kuda Hitam pada minggu kelapan ASGV hingga diperkatakan di semua platform sosial media juga tarikan utama kepada pemilihan juara Gegar Vaganza 6 (GV6) itu.
“Malah, komitmen serta kemampuan Naqiu yang terkenal dengan gerak persembahan memukau setiap kali menyanyi adalah sebab utama kami memilih dia bagi menjadi penyanyi undangan malam 24 Februari nanti,” katanya.
Konsert bintang legenda dari Indonesia itu adalah yang julung kali dianjurkan Visual Print Sdn Bhd. Mereka menyasarkan menarik lebih 1,000 penonton berkonsepkan majlis makan malam penuh romantis secara intimasi, dekat dan peribadi bersama Hetty kelak.
Acara itu akan berlangsung di Pusat Konvensyen Shah Alam, Selangor turut menampilkan beberapa lagi artis jemputan lain selama tiga jam.
Naqiu bakal menyampaikan lima lagu manakala Hetty selaku teraju utama menghiburkan peminat dengan 10 lagu. Lebih istimewa, Hetty dan Naqiu juga berduet untuk beberapa lagu yang menjadi kejutan kepada hadirin kelak.
Kredit: Harian Metro