SEKALIPUN sering ditawarkan watak jahat dan ganas, pelakon Izuan Razali tetap optimis mampu menjayakan pelbagai watak jika diberi peluang.

Izuan, 32, mengakui wajahnya yang nampak ‘jahat’ menyebabkan dirinya sering ditawarkan watak antagonis sepanjang terbabit dalam bidang lakonan.

Katanya, dia juga tidak kisah dibenci penonton kerana watak jahat dilakonkannya itu.

“Kebanyakan watak ditawarkan oleh penerbit dan pengarah selalunya adalah watak jahat yang menyebabkan saya dibenci.

“Saya percaya jika watak jahat dilakonkan membuatkan penonton benci, jadi pada pendapat saya watak dilakonkan itu menjadi serta meninggalkan impak tersendiri,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Izuan tidak sabar menantikan maklum balas penonton mengenai filem Jiwa 8 Belas lakonannya yang bakal ditayangkan di pawagam tidak lama lagi.

Izuan yang menjayakan watak sebagai Mat Kitam dalam filem arahan S Baldev Singh dan terbitan White Merpati Entertainment Sdn Bhd itu berkata, dia ditawarkan watak berkenaan menerusi sesi uji bakat yang dijalankan produksi pada 2018.

IZUAN Razali popular dengan watak jahat.
IZUAN Razali popular dengan watak jahat.

“Watak Mat Kitam juga mencabar kerana saya mengambil tempoh lebih sebulan untuk menjiwai watak termasuk mencipta gelak.

“Saya juga perlu memahami skrip kerana perlu faham dan kenali siapa Mat Kitam dan kenapa dia menjadi jahat,” katanya.

Berkongsi babak sukar yang dilakonkannya dalam filem itu pula, Izuan berkata, ia membabitkan babak Mat Kitam merogol Fatien (lakonan Sophia Albarakbah).

Katanya, ia sukar kerana dia belum pernah melakonkan babak berat seperti itu.

“Babak mencabar lain pula di mana tubuh saya lebam-lebam kerana dipukul dengan kayu ketika menjayakan babak pergaduhan.

“Saya juga lakonkan sendiri babak aksi tanpa bantuan pelakon lagak ngeri,” kata Izuan yang menjadikan Datuk Aaron Aziz dan Sharnaaz Ahmad sebagai idolanya dalam lakonan.

Bercerita lanjut mengenai pengalaman perit yang dilalui sepanjang bergelar anak seni Izuan berkongsi dia pernah dihalau ketika menghadiri sesi uji bakat dan sudah lali apabila soal paras rupa dijadikan isu sebelum ditawarkan peluang berlakon.

Menurutnya dia reda menerima kutukan berkenaan kerana dia tidak pernah mengalah untuk mengejar impiannya.

“Apa yang penting saya laksanakan tugas dan amanah yang diberikan dengan sehabis baik. Saya buat kerja saya dan itu kerja yang halal dan saya akan usaha sampai saya berjaya insya Allah,” katanya.

Kredit: Harian Metro

By Azam

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *