Kuala Lumpur: Penyanyi, Naqiu, 38, teruja mahu mengadakan konsert bersama kumpulannya, Boboy, namun menjadi tawar hati apabila penganjur yang berminat hanya menaburkan janji kosong saja.
Naqiu atau nama sebenarnya Wan Naqiudin Mohd Najib berkata, perjumpaan beberapa kali dalam tempoh lebih dua tahun dengan individu yang berminat menganjurkan konsert itu hanya membuang masa saja kerana dia tidak serius.
“Dalam tempoh itu, ada penganjur yang berjumpa dengan pengurusan saya dan berminat nak anjurkan konsert Boboy. Malangnya dia hanya beri janji-janji palsu. Dia nak anjurkan konsert Boboy sebab dengan cara itu dia dapat rapat dan jumpa saya selalu.
“Selepas jumpa sekali, lepas itu senyap. Kemudian lepas dua tiga bulan muncul semula dan nak ajak bincang. Saya datang (jumpa) lagi. Saya rasa seperti buat kemunculan percuma untuk berjumpanya tapi sekadar borak-borak dan janji kosong.
“Akhirnya perjumpaan itu sia-sia saja. Banyak perkara yang saya minta dia tak boleh tunaikan. Kadang-kadang dia cakap okay, kemudian senyap dan penukaran tarikh pun dibuat tanpa pengetahuan saya,” katanya ketika ditemui di majlis bersama media sempena acara After Hours Bersama Hetty Konsert Endang (AHHKE).
Naqiu berkata, dia enggan ambil remeh sebarang tawaran yang membabitkan Boboy kerana menganggap kumpulannya itu sangat penting dalam hidup dan dia ambil tahu dengan serius.
“Saya memang nak sangat adakan konsert dengan Boboy. Ke mana-mana saya pergi pun, orang tetap nak lagu Boboy. Saya rasa tak adil kalau Naqiu pergi seorang. Tapi, pada masa sama, saya tak nak suka-suka bawa band saya tanpa fikirkan nilai mereka.
“Untuk hal yang biasa-biasa nak bawa Boboy, saya rasa tak berbaloi. Kalau konsert mungkin saya boleh pertimbangkan. Tapi bila nak bawa sesuatu yang berharga dalam diri saya, takkan saya letak harga murah dan dengan perancangan ala kadar?
“Pasal Boboy, jangan main-main dengan saya. Saya sangat ambil berat,” katanya.
Naqiu juga menafikan syarat yang diberikan kepada penganjur terbabit untuk melaksanakan konsert berkenaan tidak keterlaluan sama sekali.
“Syarat daripada saya tak berat pun. Saya cuma jaga nilai abang-abang (Boboy) saya. Saya cuma minta harga dan kelengkapan yang sepatutnya saja. Kami sudah bersama sejak 2001 tapi takkanlah bagi harga dan layanan tahun 2001. Tak patutlah,” katanya.
Dalam pada itu, Naqiu sangat teruja dapat berkongsi pentas dengan Hetty yang dianggapnya seperti ibu sendiri pada acara AHHKE itu. Mereka bakal berduet beberapa lagu dan janjikan banyak kejutan.