MENJADI artis Korea Selatan paling digilai di seluruh dunia kala ini, penyanyi, pelakon, dan anggota Astro, Cha Eun-woo semestinya sentiasa dinantikan kemunculan serta penampilan depan peminat setianya.

Teristimewa buat peminat tempatan, impian itu bakal jadi kenyataan kerana Eun-woo akan mengadakan konsert siri jelajah 2024 Just One 10 Minute [Mystery Elevator] in Kuala Lumpur bertempat di Stadium Malawati Shah Alam, Selangor jam 8 malam pada 24 Februari ini.

Dibawakan perkhidmatan penstriman video OTT, Viu, acara itu tentu sekali mengujakan ramai apalagi dia kini menjadi rebutan pelbagai acara global. Namun, Malaysia turut dipilih menjadi persinggahannya.

Paling menarik, konsep ditampilkan pada acara itu sangat unik berbanding acara seumpama daripada artis Korea terdahulu. Dalam masa 10 minit, Eun-woo bakal buatkan peminat kelak jatuh cinta serta-merta.

Biarpun kedengaran agak klise dan pernah dilakukan ramai sebelum ini, namun kisah di sebalik pemilihan konsep terbabit sebenarnya sangat menarik.

Ia mula diperkenalkan dalam perjumpaan bersama peminat sebelum ini dan mendapat maklum balas yang sangat baik. Ia juga berikutan persembahan pentasnya yang mantap dan berkualiti tinggi.

Pada acara itu jugalah peminat bakal melihat pelbagai sisi berbezanya depan mata berbanding menonton di skrin TV. Tentu sekali banyak hal juga ingin dia kongsikan terutama karakter diri sebenar.

Selain digilai sebagai anggota Astro, portfolio Eun-woo memang tidak disangkal cukup mengagumkan sehingga kini. Bahkan memiliki lebih 41.3 juta pengikut di Instagram membuktikan namanya terlalu berpengaruh.

Dalam lakonan, antara naskhah terbaiknya termasuklah drama kegilaan di Viu seperti My ID is Gangnam Beauty dan True Beauty. Projek terbarunya, A Good Day To Be A Dog juga mencipta kejayaan sangat membanggakan.

Dia juga baru tamatkan penggambaran drama A Good Day To Be A Dog itu. Kemudian, bakal menyusul adalah drama Wonderful World yang dijangka akan ditayangkan bermula Mac nanti.

Jenamanya sebagai pelakon semakin mekar dan terus diingati sebagai artis yang cukup berkaliber. Popularitinya dalam kalangan pencinta K-Drama juga luar biasa sebagaimana dalam bidang muzik.

Dalam pada itu, Eun-woo juga sebenarnya dalam rangka mempersiapkan diri untuk kerjaya nyanyian solo. Dia dilaporkan bakal tampil dengan album sulung solonya dalam pertengahan tahun nanti.

Ini bakal menjadi titik mulanya sebagai penyanyi solo selepas lapan tahun diperkenal sebagai anggota Astro pada 2016.

“Cha Eun-woo sedang siapkan album solonya dan sasar akan melancarkannya pada pertengahan 2024. Dia mahu merungkai lagu-lagu itu di acara bertemu peminat,” kata kenyataan agensinya Fantagio.

Siri jelajah Just One 10 Minute 2024 dijadualkan bermula pada 17 Februari dan lokasi pertamanya adalah di Seoul.

Kredit: Harian Metro

By Azam

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *