Kuala Lumpur : Bukannya Ajak Shiro terperangkap dekat pulau dan diselamatkan Shuib menggunakan helikopter, tetapi ia adalah sesi latihan anjuran Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (APMM) yang turut disertai dua pelawak popular itu tahun lalu.
Ajak ketika dihubungi berkata, dalam sesi latihan itu Shuib ditugaskan menjadi ‘penyelamat’, manakala Ajak pula menjadi ‘mangsa’ yang terkandas di pulau.
“Ia sebenarnya latihan pemantauan di laut yang dianjurkan APMM tahun lalu sempena sambutan hari khas mereka.
“Saya dan Shuib dijemput untuk bersama-sama mereka, ditunjukkan peralatan yang mereka gunakan dan diajak turut serta untuk sesi latihan bagi menghebahkan mengenai agensi ini kepada masyarakat.
“Saya jadi mangsa yang terkandas di pulau dan Shuib menyelamatkan saya dari helikopter, siap dipasang dengan peralatan keselamatan,” katanya kepada Harian Metro.
Ajak yang baru pulang ke tanah air selepas menunaikan umrah berkata, sesi latihan dan taklimat mengenai APMM itu membuka matanya mengenai kemampuan pasukan maritim Malaysia yang maju.
“Bila melalui sesi latihan itu, saya dapat lihat bahawa Malaysia ada satu pasukan cekap seperti ini dengan peralatan canggih. Tugas mereka penting untuk menyelamatkan nelayan atau pemancing yang terkandas.
“Kita kena cakna mengenai keselamatan terutamanya di laut yang walaupun ia nampak tenang, namun ada bahayanya.
“Saya harap, selepas ini, lebih banyak peralatan canggih akan digunakan dalam sektor keselamatan dan kesihatan contohnya di Arab Saudi, mereka sudah gunakan helikopter sebagai ambulans jika kemalangan berlaku di lebuh raya,” katanya.
Semalam, Shuib memuat naik video dan foto mereka ketika menjalani latihan itu dan berada di dalam helikopter.
Kredit: Harian Metro