Kuala Lumpur: Penerbit, Jaja Ishak menyambut baik cadangan yang diusulkan Persatuan Pekerja Profesional Filem Malaysia (Profima) terhadap kerajaan mengenai insentif khas kepada penggiat seni yang sudah atau belum mencarum i-Saraan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sebagai satu galakan mencarum secara konsisten setiap tahun.
Jaja berkata, pemberian insentif itu sekurang-kurangnya dapat memberi satu kesedaran kepada penggiat seni terutama kru belakang tabir mengenai kepentingan simpanan hari tua.
“Ini adalah satu cadangan yang baik kepada kru belakang tabir terutamanya untuk mencarum KWSP secepat mungkin.
“Saya lihat semakin hari semakin ramai selebriti yang berkongsi penderitaan atau kepayahan yang mereka terpaksa lalui apabila sudah meniti usia tua.
“Jadi bayangkan kru produksi yang menerima bayaran jauh lebih rendah daripada selebriti. Bagaimana mereka nak teruskan kehidupan apabila sudah tua nanti?
“Saya berharap Kementerian Komunikasi dapat membantu menyediakan satu pelan atau mekanisme terbaik untuk membantu kru belakang tabir ini supaya tahun 2024 majoriti mereka sudah mencarum dalam KWSP,” katanya kepada Harian Metro.
Menurut Jaja, dia juga bersetuju dengan cadangan Profima supaya Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas)meletakkan syarat baharu kepada setiap produksi yang memohon kelulusan Sijil Perakuan Penggambaran (SPP) untuk mengemukakan rekod caruman i-Saraan bagi setiap kru yang bakal terbabit.
“Ia satu idea yang wajar dikemas kini demi kepentingan kru belakang tabir. Bagi saya, benda yang baik perlu dibuat segera.
“Walaupun i-Saraan KWSP ini adalah caruman sukarela tapi jika tiada galakan atau kesedaran memang tiada yang nak ambil peduli.
“Tambah sekarang kos hidup agak tinggi jadi mereka perlu fikir mengenai kehidupan yang sedang mereka lalui berbanding soal masa depan.
“Jadi mahu atau tidak kitalah kena menggesa pihak bertanggungjawab untuk mengubah sesuatu ke arah yang lebih baik. Harapnya ada perubahan yang positif untuk masa depan industri seni,” katanya.
Terdahulu, Harian Metro melaporkan punca kru belakang tabir enggan mencarum KWSP kerana kurang kesedaran, gaji kecil dan kesempitan hidup.
Kredit: Harian Metro