NANASheme
Petaling Jaya : Penyanyi, Nanasheme, 28, kini sudah empat tahun bebas dari pengambilan ubat tekanan dan anxiety atau kebimbangan melampau.
Nana yang kini bahagia bersama suami, Zikri Zakaria berkata, anxiety yang berpunca daripada trauma zaman kanak-kanak itu kini semakin pulih, namun sesekali hadir dalam kehidupannya sekiranya ada perkara yang mencetuskannya.
“Alhamdulillah, saya dah berhenti mengambil ubat anxiety sejak empat tahun lalu dan sejak saya bertemu suami. Anxiety ini bermula kerana saya memiliki trauma ketika zaman kanak-kanak contohnya akibat perceraian ibu bapa dan selepas ibu saya meninggal dunia.
“Saya tak sempat sembuh sepenuhnya dan pada ketika itu, kesedaran mengenai isu ini tidaklah seperti sekarang. Tapi, itu dahulu. Kini, anxiety saya lebih kepada rasa tak cukup baik.
“Saya memang ada episod-episod yang mungkin ada yang tahu, di mana, saya ada sejarah anxiety dan kemurungan. Sedikit sebanyak, apabila saya menulis karya terbaharu ini, memang ia mencetuskan sedikit rasa,” katanya.
Kini, Nana lebih terbuka untuk berkongsi mengenai situasi yang dialaminya dan berharap agar perkongsiannya itu dapat membuka ruang kesedaran mengenai isu ini.
“Tak dinafikan, saya adalah seorang yang ‘overthinking’. Perasaan takut itu memang ada dan saya rasa, ia normal untuk diri saya.
“Saya rasa, ia sudah ada dalam diri saya sejak dahulu lagi, sejak awal pembabitan dalam industri. Sekarang, saya lebih terbuka untuk berkongsi cerita dan saya harap, kalau ada yang mendengar dapat berkongsi sama.
“Perasaan takut kalau orang lupa itu memang ada sedikit. Saya sukakan kerja saya. Saya suka menyanyi, saya suka buat persembahan dan berjumpa orang ramai.
“Saya rasa sedikit tertekan kerana saya berfikir sama ada orang dapat terima atau tidak karya ini. Tambahan pula, saya kembali selepas beberapa tahun, sekali gus, takut kalau tak ada orang nak dengar lagu saya ini,” katanya.
Terbaharu, Nana kini hadir dengan single berjudul Aku Mencoba hasil ciptaannya sendiri bersama suami.
kreadit : Harian Metro