Kuala Lumpur : Juara program All Stars Gegar Vaganza (ASGV), Jaclyn Victor meminta peminatnya dan peminat Liza Hanim bertenang dan berhenti berbalah di media sosial.

Jaclyn, 45, berkata, dia dan Liza bersahabat, namun akur dengan format ASGV sebagai satu pertandingan dan menghormati kriteria pemarkahan oleh juri profesional.

“Saya harap peminat bawa bertenang. Bukan saya yang berikan markah. Saya sayangkan Liza dan semua mereka (peserta). Tak ada masalah dengan mereka. Tapi, dah ini namanya pertandingan.

“Liza pun dah lakukan yang terbaik pada malam ini. Saya tak tahu apa kriteria pemarkahan daripada pihak juri, tapi, mungkin rezeki saya pada malam ini,” katanya selepas diumumkan sebagai juara ASGV, malam tadi.

Terdahulu, selepas pengumuman Jaclyn sebagai juara, timbul perbalahan antara kumpulan peminat Jaclyn dengan peminat Liza terutamanya di platform media sosial X.

Rata-rata peminat Liza meluahkan rasa tidak puas hati atas kekalahan penyanyi pujaan mereka, manakala peminat Jaclyn pula membela nasib idola mereka yang dianggap selayaknya bergelar juara.

Menurut Jaclyn, dia juga sentiasa mengingatkan dirinya agar reda dengan sebarang keputusan dan meraikan siapa saja yang diumumkan sebagai juara program itu.

“Ketika berdiri di atas pentas itu, saya cakap kepada diri saya sendiri. Apa saja yang berlaku saya berserah saja. Siapa saja yang diumumkan sebagai pemenang, saya akan tumpang gembira untuk mereka.

“Saya harap orang boleh nampak keikhlasan persahabatan kami. Saya hormat dan sayang dia dan kami memang saling menyokong antara satu sama lain,” katanya.

Di pentas akhir yang berlangsung di Axiata Arena, Bukit Jalil itu, Jaclyn mempersembahkan tiga lagu menerusi tiga segmen iaitu When You Believe dalam segmen lagu solo, Sandarkan Pada Kenangan (lagu duet bersama Datuk Jamal Abdillah) dan Let’s Kill This Love (pusingan ‘battle’ bersama Siti Nordiana, Liza Hanim dan Tomok).

Program ASGV yang diacarakan Nabil Ahmad dan Jihan Muse, manakala juri terdiri daripada juri tetap, Datuk Ramli MS, Hetty Koes Endang dan Datuk Syafinaz Selamat serta juri jemputan, Ella.

Kredit: Harian Metro

By Azam

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *